FLAG OF THE TRUTH

1 Khilafah : Hukum Allah didahulukan,Sistem Islam yg sebenar diutamakan. “Menamatkan Kepungan Terhadap Gaza Bukanlah Dengan Kecaman Dan Kunjungan Ke PBB Tetapi Dengan Menggerakkan Tentera Mengelilingi Entiti Yahudi Umpama Gelang Yang Mengelilingi Tangan”

BERA: Slogan Kampungku Syurgaku mungkin sukar dinikmati penduduk tanah rancangan FELDA Purun, dekat sini jika masalah bekalan air yang dihadapi lebih sedekad lalu, terus menghantui kehidupan mereka. Masalah itu kerap berlaku kepada sebahagian daripada 437 peneroka FELDA yang tinggal di kawasan tinggi itu hingga ada yang mendakwa anak dan cucu mereka tidak berminat pulang berhari raya kerana bimbang terpaksa berdepan masalah bekalan air. Jika perkara itu berlarutan, mereka juga bimbang hubungan kekeluargaan semakin renggang dan sukar mengadakan majlis keramaian sesama ahli keluarga.

Mereka mendakwa masalah gangguan bekalan air itu sudah berlarutan hampir 20 tahun lalu dan setiap kali aduan dibuat kepada Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang, mereka sering menerima alasan yang sama iaitu masalah paip pecah, kerosakan mesin penyedut air dan ketiadaan bekalan elektrik.

Keadaan itu menyebabkan peneroka terpaksa berusaha mengatasinya sendiri termasuk menyediakan tangki air, membina kolam bersimen, menggali telaga dan mengangkut air dari sungai berhampiran.

Malah, mereka juga mendakwa terpaksa mengeluarkan kos sendiri bagi mendapatkan khidmat pengusaha lori persendirian bagi mengangkut air jika berlaku kejadian kematian atau mengadakan kenduri yang memerlukan bekalan air bersih yang banyak.

Seorang peneroka, Othman Salleh, 57, berkata anak serta cucunya kurang berminat balik ke tanah rancangan FELDA kerana masalah bekalan air.

Katanya, setiap kali sebelum pulang ke kampung, mereka akan bertanya mengenai bekalan air dan meminta supaya memastikan bekalan air pulih kerana tidak mahu menghadapi kesulitan untuk mandi, solat dan mendapatkan air minuman.

“Saya terpaksa menyediakan sembilan tangki air dan setiap satunya boleh menyimpan 1,000 gelen air bagi memastikan bekalan mencukupi sekiranya anaknya pulang ke sini.

“Saya sudah membelanjakan lebih RM10,000 bagi pemasangan saluran paip serta membina tempat meletakkan tangki air,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Beliau yang mempunyai tujuh anak serta 8 cucu sanggup berbelanja untuk memastikan mereka boleh balik ke kampung terutama musim cuti persekolahan atau perayaan seperti sambutan Aidilfitri.

Seorang lagi peneroka, Lagiman Jamil, 64 berkata, mereka tidak puas hati dengan masalah bekalan air di kawasan tanah rancangan FELDA yang sering terputus.

Katanya, ada peneroka yang tinggal di kawasan tinggi mendakwa mereka tidak mendapat bekalan air lebih dua bulan hingga terpaksa mendapatkan bekalan air sungai sejauh lebih enam kilometer.

“Pelbagai cara sudah dilakukan termasuk membuat aduan kepada JBA, wakil rakyat dan pegawai pembangunan daerah namum belum ada tindakan sewajarnya diambil.

“Peneroka risau sekiranya keadaan berlarutan masalah hubungan kekeluargaan menjadi semakin renggang kerana anak dan cucu mereka tidak berminat balik ke tanah rancangan FELDA ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Kawasan Guai, Norol Azali Sulaiman, berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan bantuan kewangan dari kerajaan Pusat sebanyak RM50 juta untuk menaik taraf saluran paip air di kawasan tanah rancangan FELDA berkenaan.

Katanya, buat masa ini permohonan itu belum diluluskan dan agensi pembangunan daerah sedang berusaha untuk membaiki sistem bekalan air bersih.

“Selain itu, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) turut menyediakan 32 lori tangki untuk membekalkan air ke rumah kediaman pada peneroka yang tinggal di kawasan tinggi. “Langkah sementara ini dilakukan bagi membantu meringankan masalah dihadapi peneroka terutama apabila menyambut perayaan atau ingin mengadakan majlis keramaian,” katanya.

Sumber: Berita Harian 27/09/10

Suara Ummah: Khianatnya Pemerintah Sekular Hari Ini

Di kala slogan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan dikumandangkan di sana-sini, dan setelah lebih 53 tahun Malaysia dikatakan merdeka, masih ada lagi masalah keperluan asas seperti air yang tidak diurus dengan sempurna. Masalah bekalan air yang dialami oleh penduduk Felda Purun di atas yang dilaporkan sudah berlarutan hampir 20 tahun adalah merupakan bukti yang cukup nyata untuk kita renungi betapa khianatnya pemerintah sekular hari ini. 20 tahun adalah suatu tempoh masa yang cukup panjang sebenarnya. Sudah melalui sekurang-kurang 4 kali pilihanraya umum dan sudah berganti 3 orang Perdana Menteri. Keadaan seperti ini adalah suatu fenomena yang biasa sebenarnya di dalam kehidupan mana-mana sistem pemerintahan ciptaan manusia termasuklah sistem sekular Kapitalisme yang masih lagi berdiri kukuh di Malaysia saat ini. Rakyat akan terus ditipu dengan janji-janji manis kosong terutama apabila menjelangnya setiap kali pilihanraya. Di mana Perdana Menteri Malaysia? Di mana Menteri Besar Pahang? Di mana Ahli Parlimen Bera? Cukupkah dengan apa yang dilakukan oleh ADUN Guai setakat ini? Bukankah mereka ini semua adalah pemimpin yang mempunyai kuasa? Dan apakah mereka tidak merasa gerun dengan apa yang diperingat oleh Rasulullah SAW ? Sabda Rasululllah SAW: “Seseorang yang memimpin kaum muslimin dan dia mati, sedangkan dia menipu mereka(umat) maka Allah SWT akan mengharamkan dia masuk ke dalam syurga” [HR Bukhari dan Muslim]. Sabdanya lagi: “Seseorang yang ditetapkan oleh Allah (dalam kekuasaan) mengurus kepentingan umat dan dia tidak memberikan nasihat kepada mereka(umat) dia tidak akan mencium bau syurga”. [HR Bukhari].

Apakah para pemimpin yang berkuasa saat ini tidak merasakan walaupun sedikit kegerunan dengan apa yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW itu? Renungilah sedikit kisah bagaimana takutnya Khalifah Umar Al-Khattab terhadap Allah SWT : “Suatu hari ketika beliau sedang sibuk dengan satu pekerjaan yang penting, datang seorang membawa pengaduan mengenai suatu hal kecil agar beliau dapat menyelesaikannya. Umar ra lalu memukul bahu pemuda itu sambil berkata: “Apabila aku duduk untuk menerima perkara tersebut, kamu tidak datang menemuiku tetapi apabila aku sibuk dengan lain-lain perkara yang penting kamu mencelahiku dengan perkara remeh temeh”. Pemuda itu pun pergi dari situ. Tetapi Umar ra memanggilnya kembali dan memberinya cemeti lalu berkata: “Pukullah aku dengan cemeti ini supaya kesalahanku terbalas”. Pemuda itu berkata; “Aku maafkan kamu kerana Allah”. Umar ra pulang ke rumahnya lalu bersolat taubat dua rakaat serta mencela dirinya sendiri: “Wahai Umar! Kamu dahulu hina maka Allah mengangkat darjatmu, kamu dulu sesat tetapi Allah telah memberikan kamu hidayah kepadamu, kamu dulu sangat mengaibkan tetapi Allah memuliakan kamu serta mengurniakan kamu kekuasaan terhadap orang lain. Sekarang apabila salah seorang datang kepadamu mengadu mengenai sesuatu kesalahan yang telah dilakukan terhadapnya untuk diselesaikan, kamu memukulnya? Apakah jawapan yang akan kamu berikan di hadapan Allah kelak?”. Beliau menangis begitu lama seperti tangisan kanak-kanak kecil.

Sebuah lagi kisah Umar: ”Suatu hari Umar membuat rondaan biasanya ke Harrah bersama hambanya Aslam. Nun jauh di sana kelihatan suatu cahaya api. Beliau berkata: “Mungkin di sana ada sebuah khemah. Mungkinkah khalifah tidak dapat memasuki suatu bandar kerana waktu telah gelap? Marilah kita melihat hal mereka dan menguruskan keselamatan yang perlu untuk mereka”. Apabila tiba di sana didapati seorang wanita dan beberapa orang kanak-kanak sedang menangis. Sebuah periuk berisi air sedang terjerang. Umar menyapanya dengan salam dan dengan keizinan daripada wanita itu beliau datang menghampirinya. Lalu Umar bertanya: “Mengapa kanak-kanak itu menangis?”. Wanita itu tidak mengenali Umar dan dia menjawab pertanyaan Umar dengan sedih: “Mereka lapar”. “Apakah yang ada dalam periuk?”. Umar bertanya. “Hanyalah air dijerang bagi mendiamkan kanak-kanak itu agar mereka pergi tidur dengan harapan makanan sedang disiapkan untuk mereka apabila meraka bangun nanti. Ah! Allah akan mengadili Umar pada hari kiamat kelak kerana membiarkan aku dalam kesusahan”, kata wanita itu. Umar menangis apabila mendengar kata-kata wanita itu. “Semoga Allah merahmatimu. Bagaimanakah Umar dapat mengetahui kesusahanmu ini?’. Wanita itu menjawab: “Apabila dia menjadi amir kami, dia perlulah tahu mengenai kami”. Umar pun kembali ke bandar dan terus ke Baitul Mal. Beliau mengisi tepung, kurma, lemak dan pakaian serta wang dinar ke dalam karung. Apabila telah siap diisi beliau berkata kepada Aslam: “Sekarang letakkanlah karung ini di belakangku wahai Aslam”. Aslam enggan lalu menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, biarlah aku sahaja yang memikulnya”. Umar enggan mendengar kata-kata Aslam malah beliau mendesaknya agar membenarkannya memikul barang itu di atas pundaknya sambil berkata: “Apa! Mahukah kamu memikul beban dosaku pada hari akhirat? Aku mesti membawa karung ini kerana aku akan disoal mengenai wanita ini pada hari akhirat kelak”. Dengan perasaan yang berat Aslam meletakkan barang tersebut di atas belakang Umar lalu bergerak pantas ke khemah wanita tadi. Aslam mengikut beliau dari belakang. Beliau memasukkan sedikit tepung, kurma dan lemak ke dalam periuk dan mengacaunya. Beliau menghidupkan api untuk memasaknya. Aslam berkata; “Aku lihat asap melalui celah-celah janggut Umar yang tebal”. Seketika kemudian masakan tersebut siap. Beliau sendiri yang melayani keluarga itu. Setelah kenyang beliau menyimpan bakinya untuk kegunaan mereka di kemudian hari. Kanak-kanak tersebut sangat gembira setelah memperolehi makanan dan mereka bermain dengan riangnya selepas itu. Wanita itu sangat gembira dan berkata: “Semoga Allah memberi ganjaran kepadamu kerana kebaikanmu. Selayaknya kamulah yang mengambil tempat Umar sebagai khalifah”. Beliau duduk seketika di suatu penjuru yang berdekatan sambil memerhatikan kanak-kanak tersebut. Kemudian kembali ke Madinah. Dalam perjalanan pulang beliau berkata kepada Aslam: “Tahukah kamu Aslam, mengapa aku duduk di situ? Aku telah melihat kesusahan mereka, maka begitulah juga aku mahu melihat mereka riang dan ketawa untuk seketika”.

Bandingankanlah kisah Umar di atas dengan pemimpin yang ada sekarang. Apakah akan muncul untuk kali keduanya pemimpin seperti Umar? Semuanya itu akan terjawab apabila umat sedar dan bergerak dengan bersungguh-sungguh bagi merealisasikan Khilafah untuk kali yang keduanya.

0 comments: