FLAG OF THE TRUTH

1 Khilafah : Hukum Allah didahulukan,Sistem Islam yg sebenar diutamakan. “Menamatkan Kepungan Terhadap Gaza Bukanlah Dengan Kecaman Dan Kunjungan Ke PBB Tetapi Dengan Menggerakkan Tentera Mengelilingi Entiti Yahudi Umpama Gelang Yang Mengelilingi Tangan”

Soalan :

Ustaz, apakah hukumnya tidak solat Jumaat disebabkan sedang bekerja, misalnya pegawai keselamatan, pekerja kilang, pegawai hotel dan lain-lain?

Jawapan :

Solat Jumaat hukumnya fardhu ‘ain bagi setiap Muslim. (Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam Al-Solat, II/170; Ali Raghib, Ahkam Al-Solah, hlm. 44). Dalilnya firman Allah (yang bermaksud):“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli.” (TMQ Al-Jumu’ah : 9).

Namun terdapat orang-orang yang tidak diwajibkan untuk solat Jumaat kerana ada nas-nas hadis yang mengecualikan ayat di atas. Mereka adalah kanak-kanak, hamba, perempuan, orang sakit, orang dalam perjalanan (musafir), dan orang-orang yang ada keuzuran (halangan) misalnya orang yang berada dalam ketakutan (al-kha`if) kerana peperangan dan lain-lain. (Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam Al-Solat, II/170). Nabi SAW bersabda,”Solat Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap Muslim dalam sesuatu jemaah, kecuali empat orang : hamba, perempuan, kanak-kanak dan orang sakit.” (HR Abu Dawud no 901). Nabi SAW bersabda,”Tidak ada ke atas musafir kewajiban solat Jumat.” (HR Daruquthni no 1601). Nabi SAW bersabda,“Barangsiapa mendengar azan Jumaat, lalu tidak ada uzur yang menghalanginya daripada mengikutinya, maka tidak ada solat baginya.” Para sahabat bertanya,”Apakah uzurnya?” Nabi SAW menjawab,”Takut atau sakit.” (HR Al-Hakim no 857; Abu Dawud no 464).

Oleh yang demikian, orang-orang yang tidak dikecualikan tetap terkena kewajiban untuk solat Jumaat. Jadi bagi mereka yang sedang bekerja seperti pegawai keselamatan, pekerja kilang dan pegawai hotel tetap wajib untuk solat Jumaat sebab tidak ada nas yang mengecualikan keumuman ayat yang mewajibkan solat Jumaat (TMQ Al-Jumu’ah : 9). Jika mereka meninggalkan solat Jumaat, mereka berdosa kerana telah meninggalkan kewajiban yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Namun begitu, masih tetap ada jalan keluarnya. Laksanakanlah solat Jumaat walaupun hanya dengan dua orang sahaja. Inilah jumlah minima ahli jemaah untuk solat Jumaat (termasuk Imam/khatib) yang rajih (kuat) menurut kami. (Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam Al-Solat, II/172). Ini adalah pendapat Imam Ibrahim an-Nakha`i, Imam Ibnu Hazm, dan Imam Asy-Syaukani. (Ibnu Hazm, Al-Muhalla, Juz V/45, Al-Syaukani, Nailul Authar, Juz 5/289). Dalilnya adalah kemutlakan hadis tentang solat jemaah yang sah adalah dengan jumlah minima dua orang. (HR Bukhari, no 618).

Memang terdapat khilafiyah (perbezaan pendapat) tentang jumlah minima ahli jemaah untuk solat Jumaat. Imam Ibnu Hajar menjelaskan terdapat 15 pendapat dalam masalah ini (Fathul Bari, Juz III/349). Namun yang rajih ialah minima dua orang seperti yang telah kami kemukakan. Ini adalah kerana tidak ada dalil yang sahih yang mensyaratkan jumlah orang tertentu dalam solat Jumaat (misalnya 40 orang). Imam Suyuti berkata,”Tidak ada satupun hadis sahih yang menetapkan jumlah tertentu dalam solat Jumaat.” (Al-Syaukani, Nailul Authar, Juz 5/289).

Oleh itu, bagi mereka yang bekerja seperti pegawai keselamatan, pekerja kilang, pegawai hotel dan yang seumpama dengannya tetap wajib untuk solat Jumaat. Jalan keluarnya adalah dengan melaksanakannya dalam jemaah yang kecil dengan minima dua orang. Boleh juga salah seorang yang sudah solat Jumaat (di luar) untuk mengikuti sekali (bagi mencukupkan ahli jemaah minima). Khutbah tetap wajib disampaikan. Waktunya pun boleh juga diakhirkan misalnya jam 2.00 atau jam 3.00 petang kerana tempoh waktu solat Jumaat adalah sama dengan waktu solat Zohor. Wallahu a’lam.

1 comments:

Sy transport jb kl kdg susah nk cri tmpt solat utk solat jumaat... Boleh di katakan lebih 3 kali... Tp hati sentiasa takut dan cuba nk cri tmpt brnti.... Apa pndgan sahabat