tentang diriku
- Shah Shukri
- Taiping, Perak, Malaysia
- "Suatu hari nanti kita pasti berhenti bekerja dengan manusia, tetapi tiada istilah berhenti bekerja dengan Allah melainkan perjuangan berakhir bersama nafas terakhir"
Selamat Datang
islamic clock
switch blog
islamic calendar
jom chat...!!!
Facebook Badge
my Friends
Labels
- hudud (1)
my Ads
Followers
SUDAN AKHIRNYA BERPECAH
KHARTOUM 8 Feb. – Sebanyak 98.83 peratus daripada rakyat Sudan menyokong tuntutan kemerdekaan bahagian selatan negara ini ini dalam pungutan suara semalam. Hasil pungutan suara yang diumumkan di sini, hanya 44,888 orang atau 1.17 peratus sahaja daripada 3,837,406 pengundi yang menolak bahagian tersebut diberi kemerdekaan. “Pungutan suara ini adalah benar, tepat dan telus, pihak kami tiada bantahan terhadapnya,” kata pengerusi pungutan suara selatan Sudan, Mohamed Ibrahim Khalil. - AFP
Sumber : Utusan Malaysia: 08/02/11
Atas Nama Demokrasi Umat Islam Terus Mengundang Murka Allah Dan Menjadi Mangsa Barat.
Perpecahan demi perpecahan terus melanda dunia Islam. Kali ini kufar Barat yang diketuai oleh Amerika dan sekutu-sekutunya dengan begitu licik telah berjaya membahagi-bahagikan negeri umat Islam Sudan atas nama demokrasi. Nampaknya makar jahat Barat terus berjaya untuk melemahkan negara umat Islam. Kini wilayah selatan Sudan yang kaya dengan minyak menjadi mangsa kepada kejahatan dan kerakusan kuasa penjajah Barat apabila keputusan referendum menunjukkan hampir 100% bersetuju agar wilayah selatan dipisahkan. Jika dahulu umat Islam telah dijajah dan dipecah-belahkan secara fizikal melalui kuasa ketenteraan oleh para penjajah. Kini pendekatan dan cara yang digunakan oleh pihak Barat telah bertukar tetapi matlamatnya tetap sama iaitu untuk melemahkan umat Islam dengan cara memecah-belahkan negeri-negeri dan kesatuan negara kaum muslimin. Di antara pendekatan yang digunakan kini termasuklah menekan para penguasa umat Islam dengan ekonomi, ancaman pemboikotan dan tipu-helah melalui Demokrasi. Inilah strategi yang paling berkesan untuk terus menipu dan memperbodohkan umat Islam. Keadaan ini akan pasti terus memudahkan Barat menguasai dan mengawal umat Islam agar tunduk kepada telunjuk mereka. Sedangkan hukum syara’ telah menerangkan dengan jelas bahawa hukum memecah-belahkan negara adalah haram. Jadi, persetujuan pemimpin Sudan untuk memisahkan wilayah selatannya adalah perbuatan khianat. Ianya adalah satu tindakan yang langsung tidak boleh diterima dari perspektif Islam walaupun seribu alasan diberikan.
Wahai seluruh umat Islam! Mahukah kamu jika anak kamu dikerat-kerat dan dipotong-potong menjadi bahagian-bahagian kecil? Semua manusia yang waras sudah pasti tidak akan menerimanya. Untuk itu hanya dengan Khilafah sahaja umat Islam akan dapat disatukan semula di bawah suatu kuasa politik. Selagi kesatuan dalam bentuk kesatuan politik Khilafah ini tidak wujud, maka selagi itulah umat Islam akan terus menjadi mangsa perlecehan kufar Barat. Wahai seluruh umat Islam! Apakah kalian akan terus berdiam diri dan melihat saudara seIslam dan negeri-negeri mereka terus diratah dan dipecah-belahkan oleh Barat? Kalian sudah tidak boleh lagi mengharapkan para pemimpin sekular yang ada pada hari ini. Gantikanlah mereka ini dengan seorang khalifah yang akan membela kalian dan menerapkan Islam secara menyeluruh ke atas kalian serta menyatukan seluruh negara umat Islam di bawah satu kepimpinan yang kemudiannya akan pasti menghadirkan gerun di jantung musuh-musuh Allah.
Sehingga kini pergolakan di Mesir masih belum berakhir. Rakyat masih tetap keluar ke Dataran Tahrir dan ke jalan-jalan utama untuk menekan Presiden Mubarak agar berundur. Dalam masa yang sama, si diktator itu masih tetap enggan melepaskan jawatannya dan melakukan pelbagai taktik keji dan jahat untuk meleraikan tunjuk perasaan. Terdapat bukti bahawa Gamal Mubarak, anak kepada Hosni Mubarak, mengupah sekumpulan penjenayah untuk melakukan serangan ke atas penunjuk perasaan sehingga menyebabkan kecederaan kepada lebih dari seribu orang yang berhimpun. Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pula nampaknya sedang bermain tarik tali dengan apa yang berlaku di mana ketua pengganas dunia ini sudah pun memberi isyarat agar Mubarak berundur dan memberikan laluan kepada ejennya yang lain pula untuk menjadi diktator Mesir.
Walaupun Obama menekankan kepada orderly transition (peralihan kuasa yang tertib) tetapi hingga kini dia masih ‘mempertahankan’ Mubarak di kerusi presiden. Ini bagi menguji dan memastikan ‘hambanya’ yang baru iaitu Omar Suleiman, El-Baradei dan beberapa yang lain betul-betul ‘menyembah’kan sepenuh taat setia kepada AS tanpa berbelah bahagi apabila dilantik kelak. Dalam masa yang sama, AS juga sedang menjinakkan pemimpin Ikhwanul Muslimin agar turut berada di barisan ejennya yang baru.
Dalam kekecohan dan rusuhan yang berlaku di bumi para Anbiya’ itu sejak lebih dua minggu lepas, kerajaan Malaysia juga teramat sibuk untuk menyelamatkan rakyat Malaysia, khususnya para pelajar yang jumlahnya lebih 10,000 orang yang menginap di beberapa kota utama di Mesir. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi tunjang kepada misi menyelamat pelajar Malaysia di bawah operasi yang dinamakan sebagai ‘Ops Piramid’ bagi mengeluarkan rakyat Malaysia dengan selamat dari bumi Mesir. Syarikat penerbangan MAS dan AirAsia turut diminta membantu. Bukan sahaja kerajaan, parti pembangkang juga turut mendesak dan cuba bergabung di dalam misi menyelamat rakyat Malaysia ini. Ramai di kalangan ibubapa dan juga pihak pembangkang tidak berpuas hati dengan kerajaan yang dikatakan lambat bertindak dan ada agenda politik di sebalik operasi tersebut. Kerajaan pula bersungguh-sungguh menafikannya dan meminta pembangkang agar tidak ‘mempolitikkan’ isu tersebut.
Harakahdaily.net melaporkan bahawa terdapat wakil dari Kelantan iaitu bekas Presiden Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Zulkapli Yaacob yang pada awalnya ditawarkan menyertai misi Mercy bagi menghantar bantuan ke Mesir, tetapi kemudian diketepikan. “Saya telah serahkan passport kepada pihak penganjur biar pun tahu di belakangnya ada Kelab Putera Malaysia. Ketika taklimat diadakan di Kuala Lumpur setiap peserta yang akan menyertai misi berkenaan diberi t-shirt berlambang 1Malaysia”, ujarnya tidak berpuas hati. Terdapat juga laporan bahawa pelajar yang pro parti politik tertentu didakwa didahulukan dalam misi menyelamat bagi memindahkan pelajar dari Mesir ke Jeddah, selain terdapat maklumat bahawa ada ibu bapa pelajar yang datang ke Bilik Gerakan Bantuan Kemanusian Mesir membuat aduan mereka ditanya oleh petugas di Wisma Putera, “Encik datang dari UMNO Bahagian mana?” [harakahdaily.net]. Berdasarkan perkembangan terbaru, kerajaan menyatakan bahawa Ops Piramid telah hampir selesai di mana sebahagian besar pelajar Malaysia telah berjaya dibawa pulang dengan selamat. Namun demikian, terdapat lebih kurang 2000 pelajar yang berkeras tidak mahu mahu balik walaupun telah ditawarkan berbuat demikian.
Ops Piramid, Apa Yang Tak Kena?
Di sebalik segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan misi menyelamat pelajar Malaysia di Mesir ini, terdapat segelintir yang lain berpuas hati dan berterima kasih kepada kerajaan di atas operasi yang dijalankan. Di balik semua itu, tidak ramai yang melihat dan membincangkan apakah aspek yang tidak kena dengan operasi ini, dipandang dari sudut Islam. Jika dilihat dari perspektif kemanusiaan, sesungguhnya usaha menyelamat itu adalah suatu yang baik, tetapi tertakluk kepada syarat. Syaratnya adalah tindakan itu hendaklah dilakukan semata-mata kerana Islam, bukan kerana yang lain. Ia mestilah suatu tindakan yang didorong semata-mata oleh akidah Islam, bukan selain dari itu. Jika ia dilakukan bukan kerana Islam, maka misi menyelamat itu tidak akan dapat menyelamatkan pelakunya dari dosa kepada Allah dan azab di akhirat.
Sekali pandang sahaja sudah cukup untuk kita menafsirkan bahawa misi menyelamat itu bukan dilakukan atas dorongan ‘akidah Islam’. Baik kerajaan mahupun pembangkang, semuanya melihat bahawa yang perlu diselamatkan di sana adalah rakyat Malaysia atau lebih tepat lagi, rakyat yang berwarganegara Malaysia atau yang memegang kad pengenalan Malaysia! Itulah hakikatnya. Mereka langsung tidak memandang bahawa rakyat Indonesia (yang belajar di Mesir) perlu diselamatkan, rakyat Pakistan perlu diselamatkan, rakyat Arab Saudi perlu diselamatkan atau rakyat negara mana pun yang belajar di Mesir perlu diselamatkan. Mereka langsung tidak memandang bahawa rakyat Mesir itu sendiri perlu diselamatkan, walaupun hakikatnya mereka semua itu adalah Muslim dan walaupun hakikatnya akidah rakyat Indonesia, Pakistan, Arab Saudi dan Mesir itu kesemuanya adalah ‘akidah Islam’. Mereka langsung tidak memandang bahawa kesemua pihak tersebut adalah orang yang beragama Islam dan merupakan saudara seakidah mereka yang wajib diselamatkan kesemuanya!
Persoalannya, kenapakah hanya rakyat Malaysia yang diselamatkan? Jawapannya, tidak lain adalah kerana mereka itu ‘rakyat kita’! Apakah yang membezakan orang Malaysia, orang Indonesia, orang Pakistan dan orang Mesir? Bezanya adalah kerana seseorang itu memiliki sekeping ‘kad pengenalan’ yang tertulis perkataan ‘Malaysia’ di atasnya, maka, jadilah orang itu ‘orang Malaysia’. Jika yang tertulis di atas kad tersebut adalah ‘Mesir’, maka jadilah dia orang Mesir. Dan apa pula yang memisahkan negara yang bernama Malaysia, Indonesia, Mesir dan lain-lain negara kaum Muslimin? Jawapannya, kerana sempadan palsu yang telah dilakar oleh kuffar penjajah Barat setelah mereka menjajah tanah-tanah kita lebih seabad yang lalu!!
Kesemua sempadan imaginatif ini diwujudkan bagi memecah-belah, mencerai-berai dan melemahkan kesatuan umat Islam. Kemudian kuffar Barat melantik di setiap negara yang dipecahkan ini seorang ejen mereka yang memerintah mengikut apa yang mereka kehendaki, bukannya mengikut apa yang Allah kehendaki. Hasil dari penjajahan dan semua makar jahat Barat inilah, maka umat Islam akhirnya terpecah-belah kepada negara-negara kecil yang lemah dan tidak bermaya dan pemimpinnya tunduk kepada Barat dan para pemimpin jahat ini pula berusaha bersungguh-sungguh mempertahankan sempadan negara masing-masing yang telah dilakar oleh Barat dan tidak mahu keluar darinya! Akibatnya, wujudlah negara Malaysia, negara Indonesia, negara Mesir dan lain-lain negara umat Islam yang tercerai-berai dan dibanggakan oleh pemerintah dan rakyat masing-masing!
Setelah melakar sempadan-sempadan palsu ini, Barat telah meleraikan ikatan suci umat Islam yakni ‘ikatan akidah’ yang selama ini menjadi satu-satunya pengikat yang benar sesama kaum Muslimin. Ikatan suci ini kemudiannya diganti dengan ‘ikatan sempadan’ atau wathaniyyah (patriotisme) dan ikatan asabiyyah (nasionalisme). Akhirnya umat Islam telah melebihkan ikatan wathaniyyah dan assabiyyah dari ikatan akidah itu sendiri, sehingga jika ada apa jua masalah hatta masalah nyawa sekalipun yang melanda umat Islam, maka ikatan yang akan didahulukan oleh umat adalah ikatan sempadan dan ikatan nasionalisme, bukannya ikatan akidah!
Ops Piramid yang dilancarkan oleh kerajaan Malaysia dan usaha-usaha menyelamat rakyat Malaysia di Mesir hakikatnya merupakan manifestasi dari ‘ikatan sempadan’ yang lebih diutamakan (untuk dijaga) dari ‘ikatan akidah’ yang ada pada sesama Muslim. Walhal sesungguhnya Allah SWT langsung tidak memandang manusia dengan ikatan sempadan kerana Allah telah menyatukan manusia dengan ikatan akidah Islam. Tidak ada bezanya antara orang Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Mesir dan sebagainya selama mana mereka adalah orang yang mengucapkan La Ilaha Illallah kerana dengan kalimah inilah Allah telah menyatukan kita semua di bawah satu ikatan. Sesungguhnya darah umat Islam itu sama sahaja, darahnya mulia dan wajib dijaga, tanpa mengira di negara manakah mereka lahir atau tinggal, tanpa mengira bangsa apakah mereka dan tanpa mengira warna apakah kulit mereka. Sabda Nabi SAW,
“Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kalian adalah satu dan bapa kalian pun satu. Tidak ada keutamaan orang Arab atas orang ajam (bukan Arab) dan tidak ada keutamaan orang ajam atas orang Arab, tidak ada keutamaan orang berkulit hitam atas yang merah dan tidak ada keutamaan orang berkulit merah atas yang hitam, kecuali dengan taqwa” [HR Ahmad].
Umat Islam diharamkan mengikat diri mereka dengan ikatan patriotisme dan nasionalisme kerana ia bertentangan dengan hukum penyatuan umat Islam yang diwajibkan oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman,
“Sesungguhnya umat ini adalah umat yang satu dan Aku adalah Rabbmu, maka bertakwalah kepadaKu” [TMQ al-Mukminun (40):52].
Firman Allah yang lain,
“Sesungguhnya orang-orang beriman adalah bersaudara” [TMQ al-Hujurat (49):13].
Ayat ini dengan tegas menunjukkan bahawa umat Islam adalah bersaudara yang diibaratkan oleh Rasulullah SAW sebagai tubuh yang satu. Kesemua kesatuan dan persaudaraan ini adalah kerana umat Islam ini diikat oleh kesamaan ‘aqidah Islamiyyah’ (iman), bukannya oleh kesamaan bangsa atau tanahair. Rasulullah SAW bersabda,
“Tidak termasuk umatku orang yang menyerukan kepada assabiyyah, berperang kerana assabiyyah dan mati kerana assabiyyah” [HR Abu Dawud].
Cintakan Tanahair, Dari Mana Asalnya?
Ada sebahagian dari umat Islam yang memperjuangkan wathaniyyah beristidlal (menggunakan dalil) dengan ‘hadis’ yang berbunyi “hubbul wathan minal iman” (cintakan tanahair sebahagian daripada iman). Malangnya mereka tidak mengkaji kedudukan sebenar ‘hadis’ ini. Ungkapan “hubbul wathan minal iman” sebenarnya adalah hadis palsu (maudhu’), dengan kata lain ia bukanlah hadis. Demikianlah menurut para ulama ahli hadis yang terpercaya. Dalam kitab Tahdzirul Muslimin karya Syaikh al-Azhari asy-Syafi’i hal. 109 diterangkan bahawa hadis “hubbul wathon minal iman” adalah maudhu’ (palsu). Demikian juga penilaian Imam as-Sakhawi dan Imam ash-Shaghani. Imam as-Sakhawi (w. 902 H) menerangkan kepalsuannya dalam kitabnya al-Maqasid al-Hasanah fi Bayani Katsirin min al-Ahadits al-Musytaharah ‘ala Alsinah, hal. 115. Imam ash-Shaghani (w. 650 H) pula menerangkan kepalsuan ‘hadis’ ini di dalam kitabnya Al-Maudhu’at, hal. 8.
Penilaian palsunya hadis tersebut juga dapat dirujuk pada rujukan lain seperti berikut, (i) Kasyful Al-Khafa’ wa Muzilu al-Ilbas, karya Imam Al-Ajluni, Juz I hal. 423 (w. 1162 H), (ii) Ad-Durar Al-Muntatsirah fi al-Ahadits al-Masyhurah, karya Imam Suyuthi, hal. 74 (w. 911 H), (iii) At-Tadzkirah fi al-Ahadits al-Musytaharah, karya Imam Az-Zarkasyi, hal. 11 (w. 794 H) [lihat Syeikh al-Azhari asy-Syafi’i, Tahdzirul Muslimin min al-Ahadits a-Maudhu’ah ‘Ala Sayyid al-Mursalin, hal. 109].
Ringkasnya, ungkapan “hubbul wathan minal iman” adalah hadis palsu (maudhu’) atau dengan kata lain ia bukanlah hadis Nabi SAW. Oleh yang demikian, kami mengingatkan kepada seluruh kaum Muslimin agar tidak mengatakan “hubbul wathan minal iman” sebagai hadis, sebab Nabi SAW memang tidak pernah mengatakannya. Menisbahkan ungkapan itu kepada Nabi SAW adalah sebuah kedustaan yang nyata atas nama Nabi SAW dan ingatlah bahawa Nabi SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis mutawatir, “Barangsiapa yang berdusta atasku dengan sengaja, maka hendaklah ia menempatkan tempat duduknya di neraka”.
Jika kita menelusuri sejarah Islam, kita akan dapati bahawa Islam memang tidak pernah mengenal perjuangan wathaniyyah dan assabiyyah ini, kecuali setelah zaman perang pemikiran (al-ghazwul fikri) pada abad ke-17 Masihi yang dilancarkan kaum penjajah yang cuba menakluk dan memecah-belahkan Daulah Khilafah. Mereka melancarkan serangan pemikiran melalui para misionaris dan merekayasa parti-parti politik rahsia untuk menyebarluaskan kedua-dua idea sesat ini. Banyak kelompok misionaris British, Perancis dan Amerika didirikan di dalam Daulah di sepanjang abad ke-17, 18, dan 19 Masihi untuk menjalankan misi tersebut.
Namun, usaha mereka menemui kegagalan demi kegagalan sehinggalah pada tahun 1857, penjajah kuffar mula menuai kejayaan tatkala berdirinya Persatuan Sains Syria (Syrian Scientific Society) yang menyerukan nasionalisme Arab. Sebuah sekolah misionaris terkemuka dengan nama Al-Madrasah Al-Wathaniyah telah didirikan di Syria oleh Butros Al-Bustani, seorang Kristian Arab (Maronit). Nama sekolah ini menjadi simbol intipati dan kejayaan misi Barat dalam menerapkan fahaman wathaniyyah (hubbul wathan, cintakan tanah air) di dunia Islam. Langkah yang sama terjadi di Mesir, ketika Rifa’ah Badawi Rafi’ At-Tahtawi (w. 1873M) mempropagandakan wathaniyyah dan sekularisme. Setelah itu, berdirilah beberapa parti politik yang diasaskan atas perjuangan patriotisme dan nasionalisme dan parti-parti ini kemudiannya digerakkan untuk menghancurkan Daulah Khilafah yang berpusat di Turki ketika itu.
Sepanjang zaman kemerosotan Khilafah Uthmaniyyah, kaum kuffar berhimpun dan bekerjasama untuk merobek-robek negara Khilafah, antaranya melalui perjanjian Sykes-Picot pada tahun 1916 ketika British dan Perancis merencana untuk membahagi-bahagikan wilayah Khilafah. Kemudian pada tahun 1923, dalam Perjanjian Versailles dan Lausanne, rencana itu mula diimplementasikan. Dari sinilah lahirnya negara-negara Irak, Syria, Palestin, Lebanon dan Transjordan. Kesemuanya berada di bawah mandat British, kecuali Syria dan Lebanon yang berada di bawah Perancis. Hal ini kemudian diikuti dengan usaha British dalam merancang kelahiran Pakistan. Kewujudan semua negara-bangsa ini tiada lain adalah hasil perancangan imperialis kuffar yang berjaya memecahbelahkan kesatuan negara kaum Muslimin. Begitu juga Malaysia dan Indonesia, semuanya tidak lepas dari perancangan penjajah menyebarkan fahaman patriotisme dan nasionalisme dalam tubuh umat Islam agar umat ini tidak dapat bertaut kembali di bawah negara yang satu yakni negara Khilafah.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya keseluruhan bumi ini diwariskan oleh Allah kepada orang-orang yang beriman dan sesungguhnya bumi Allah ini sama sahaja tidak kira di mana kedudukannya. Allah Azza Wa Jalla tidak pernah membezakan bumi Malaysia dari bumi Mesir, bumi Arab Saudi dari bumi Irak dan sebagainya. Maha Suci Allah yang telah mencipta keseluruhan bumi ini dengan kekuasaan dan kehendakNya. Dia tidak pernah membezakan kaum Muslimin di bumi mana sekalipun Muslim itu tinggal. Justeru, apakah hak manusia untuk membeza-bezakan seseorang Muslim dengan Muslim yang lain hanya kerana perbezaan tempat kelahiran dan perbezaan kewarganeraan sedangkan setiap Muslim itu mengucapkan kalimah La Ilaha Illallah yang sama? Wahai kaum Muslimin! Wahai umat Islam di Malaysia! Sedarlah! Campakkanlah sejauh-jauhnya perasaan, semangat dan perjuangan wathaniyyah dan assabiyyah yang sesat lagi menyesatkan! Kembalilah kepada ikatan yang hakiki...ikatan yang menjadikan umat Islam umat yang satu, umat yang mulia yang menjadi pewaris bumi Allah ini kesemuanya. Ingatlah bahawa sesungguhnya daripada tanah kita berasal dan kepada tanah kita kembali...maka janganlah sekali-kali kalian membeza-bezakan tanah ciptaan Allah, di bumi mana sekalipun tanah itu berada, baik di bumi Malaysia, bumi Indonesia mahupun bumi Mesir kerana yang pasti, di bumi Allah inilah kita semua akan disemadikan.
Pada hari Jumaat yang lalu (04/02/2011), jutaan rakyat Mesir telah berkumpul di Dataran Tahrir di Mesir dan di bandar-bandar besar yang lain untuk menumbangkan rejim Mubarak. Para penunjuk perasaan melaungkan pelbagai slogan untuk menumbangkan rejim Mubarak. Salah seorang wakil Press TV melaporkan bahawa para penunjuk perasaan merancang untuk melakukan perarakan menuju ke istana Presiden selepas selesai solat Jumaat.
Beberapa ribu tentera telah dikerahkan ke lokasi-lokasi penting di seluruh bandar. Pihak pembangkang menggelarkan hari Jumaat tersebut sebagai "Hari Untuk Melepaskan". Dikatakan bahawa demonstrasi besar tersebut bertujuan untuk memaksa Mubarak supaya melepaskan jawatannya. Terdapat juga beberapa kumpulan orang awam mengadakan protes besar-besaran di Iskandariah dan Suez. Perkembangan tersebut muncul setelah pemerintah menggunakan kekerasan terhadap para jurnalis dan media untuk menghalang liputan berita tentang penunjuk perasaan tersebut.
Pada hari Khamis yang lalu, wakil Presiden, Omar Sulaeiman menganggap bahawa seruan pengunduran Mubarak merupakan seruan kepada kekacauan. Suleiman mengatakan, pemerintah mendesak semua pihak termasuk Ikhwanul Muslimin supaya tutut serta dalam dialog nasional yang diadakan. Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan, Ikhwanul Muslimin dikatakan menolak tawaran pemerintah tersebut.
Para penunjuk perasaan telah bersumpah untuk terus berdiri teguh meskipun berlaku pertembungan dan pergaduhan yang menyebabkan beberapa kematian, di mana lebih daripada 1500 orang yang lain cedera di Mesir. Mereka melaungkan “Turun, Turun, Turun Mubarak”. Ada juga para penunjuk perasaan yang menolak campur tangan Amerika dan negara-negara imperialis yang lain. Sekurang-kurangnya 300 orang terbunuh dan ribuan yang lain cedera dalam demonstrasi tersebut.
Mesir merupakan salah satu negeri kaum Muslimin yang memiliki potensi yang besar bagi umat. Sudah bertahun-tahun lamanya Mesir dicengkam oleh demokrasi dan kediktatoran serta berada di bawah telunjuk Amerika. Sungguh pelik, negeri yang dibuka oleh Amr bin Ash ini pada hari ini boleh menjadi sekutu Israel di mana pada waktu yang sama Israel menjajah negara Palestin.
Sudah tiba masanya umat untuk bangkit dan bukan hanya sekadar menghentikan rejim diktator, tetapi juga menggantikan sistem demokrasi yang selama ini telah membawa malapetaka kepada seluruh negeri-negeri kaum Muslimin. Umat kini memerlukan satu kesatuan politik yang akan mengembalikan kemuliaan mereka dengan menerapkan syariah dalam setiap sendi-sendi kehidupan serta mengembangkan Islam ke seluruh alam. Institusi tersebut adalah Khilafah Rasyidah yang diperlukan oleh umat, dan bukannya demokrasi. InsyaAllah, ia semakin dekat! [m/f/prstv/syabab.com]
Rejim Mubarak telah mengerahkan segala yang dimilikinya untuk mencederakan rakyatnya sendiri. Walaupun demonstrasi jutaan rakyat yang menuntut Mubarak untuk berundur dilakukan dengan aman, beberapa pihak telah digunakan oleh penguasa untuk memprovokasi rakyat sehingga mencetuskan pergaduhan. Terbaru, sebuah kereta peronda polis milik pemerintah meredah jalan-jalan yang digunakan oleh penunjuk perasaan.
Pada awalnya para penunjuk perasaan sedang berkumpul dan berada di jalanan. Tiba-tiba dengan secara mengejut, sebuah kereta peronda di sebuah jalan melanggar beberapa penunjuk perasaan. Kejadian tersebut sempat dirakam dengan jelas oleh salah seorang penunjuk perasaan pada hari Khamis lalu (03/02/2011). Rejim Mubarak yang didukung oleh AS dan Barat telah bekerjasama dengan Israel dengan menggunakan tangan besinya untuk memukul para penunjuk perasaan. Di samping itu, konco-konconya juga menyerang para wartawan yang sedang membuat liputan tentang demonstrasi rakyat tersebut.
Demonstrasi rakyat yang tercetus daripada revolusi di Tunisia ini akan terus berlanjutan. Diramalkan bahawa demonstrasi jutaan rakyat pada hari Jumaat ini akan menambah parahkan lagi keadaan di Mesir. [m/np/syabab.com]
SEPANG 7 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, operasi menyelamat pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir menerusi Ops Piramid merupakan misi untuk kepentingan negara dan tiada unsur politik. Menurut Perdana Menteri, kerajaan melakukan apa sahaja yang terbaik untuk membawa pulang rakyat Malaysia berikutan pergolakan di negara berkenaan. "Kerajaan mengambil keputusan dalam apa jua keadaan, kita akan melancarkan misi menyelamatkan pelajar-pelajar dan warga Malaysia. "Dan ini misi untuk kepentingan negara. Tidak ada pertimbangan politik sama sekali, tidak kira pertimbangan ideologi, asalkan mereka ini warga Malaysia, mereka mesti diselamatkan dengan kadar segera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyambut kepulangan kumpulan pertama 778 pelajar dan rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Mesir menerusi Ops Piramid melalui Jeddah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini. Pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia itu mendarat kira-kira pukul 10 pagi dan turut disambut isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menteri Kabinet lain. Turut menyambut kepulangan mereka ke tanah air ialah anggota keluarga masing-masing. Najib berkata, oleh kerana misi tersebut bukan sesuatu yang mudah, kerajaan telah membuat perancangan teliti termasuk membawa keluar rakyat Malaysia di Mesir untuk ditempatkan sementara di Jeddah sebelum dibawa pulang ke tanah air. Menurut Perdana Menteri, pelbagai pihak terlibat dalam misi tersebut kerana matlamatnya hanya untuk memastikan rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat. Tegas beliau, kerajaan bimbang tentang keselamatan warga Malaysia di Mesir kerana di negara berkenaan kini tiada lagi pentadbiran awam dan yang berasaskan undang-undang. "Runtuhnya sama sekali undang-undang dan ketenteraman di Mesir yang menyebabkan sebarang kemungkinan boleh berlaku.
Kami amat khuatir dan bimbang kalau berlaku perkara yang boleh mengancam nyawa dan berlaku kecacatan atau kecederaan kepada anak-anak kita yang tidak berdosa," katanya. Perdana Menteri berkata, kepulangan kumpulan pertama rakyat Malaysia itu merupakan satu kelegaan kepada mereka di tanah air dan sebab itu, beliau yang sepatutnya mempengerusikan sebuah mesyuarat penting pagi ini menangguhkannya untuk bersama dengan mereka di sini. Najib juga tidak 'bercuti' sepanjang dua tiga hari lepas sedangkan pada masa itu cuti umum untuk menumpukan urusan membawa pulang rakyat Malaysia. "Ada pukul 3 pagi pun kita terima telefon (berkenaan dengan urusan membawa balik rakyat Malaysia ini). Alhamdulillah, semua urusan ini berjalan dengan baik. Saya doakan supaya penerbangan lain (selepas ini dari Mesir) akan selamat kembali ke tanah air," katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk MAS, AirAsia, Lembaga Tabung Haji, Angkatan Tentera Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Najib juga mengucapkan penghargaan kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Turki Abdullah al-Saud kerana sudi membiayai dua penerbangan menggunakan pesawat jumbo Boeing 747 untuk membawa balik pelajar Malaysia dari Jeddah ke Kuala Lumpur. Juga, kata Perdana Menteri, ucapan terima kasih buat Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud kerana membenarkan penggunaan ruang udara dan pendaratan seberapa banyak pesawat Malaysia di Jeddah. Kata beliau, perkara itu merupakan satu 'pertimbangan yang luar biasa' dari negara berkenaan kepada Malaysia. Najib berkata, jika perlu kerajaan juga akan berurusan dengan pihak universiti di Mesir supaya pelajar-pelajar yang menuntut di negara tersebut menduduki peperiksaan di Malaysia.
Sumber : Utusan Malaysia: 08/02/11
Mana Mungkin Bukan Kerana Politik
Jika Najib tidak menjadi Presiden UMNO mungkin kenyataan di atas ada asas dan kebenarannya. Tetapi fakta dan hakikatnya, beliau adalah seorang Perdana Menteri juga dalam masa yang sama adalah Presiden UMNO. Maka sudah pasti tindakan beliau itu tidak boleh lari dari tujuan untuk meraih keuntungan untuk politik UMNO. Ini adalah hakikat dan persepsi yang tidak boleh dinafikan oleh beliau. Kerana kita boleh melihat kebanyakkan apa yang dilakukan oleh Najib selama ini kesemuanya adalah untuk menonjolkan kehebatan dan keupayaan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dalam mentadbir negara. Mana tidaknya, media cetak dan elektronik tidak henti-henti memutarkan berita dan visual usaha-usaha pemimpin daripada kerajaan UMNO-BN di dalam membawa pulang semua rakyat Malaysia. Untuk apa? Sudah tentu untuk menaikkan populariti BN menjelang pilihanraya umum yang semakin dekat. Manakala semua pemimpin-pemimpin kerajaan yang terlibat dalam Ops Piramid ini pula pasti akan mendapat merit dan diutamakan di dalam kenaikkan pangkat atau jawatan. Secara langsung ini akan mengukuhkan sokongan penjawat awam kepada kerajaan UMNO-BN. Justeru itu, jika beliau benar-benar bekerja untuk semua rakyat maka kita ingin melihat selepas ini samada semua projek dan program yang dianjurkan tidak dikaitkan dengan UMNO atau Barisan Nasional (BN).
Jika Najib ingin membela rakyat, beliau seharusnya menjadikan rekod cemerlang pemimpin umat Islam dahulu. Contoh ini boleh dirujuk kepada sistem Khilafah yang pernah wujud selama lebih 1300 tahun lamanya. Institusi ini adalah institusi yang akan mewakili seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa dan warna kulit serta sempadan geografi. Sebagaimana catatan sejarah umat Islam yang penuh dengan kegemilangan semasa berada di bawah naungan dan kekuasaan para khalifah dahulu. Pernah belaku di zaman kegemilangan Khilafah Abbasiyah, Khalifah Mu’tasim yang ketika itu berpusat di Kota Baghdad telah menghantar tentera bagi membela kehormatan seorang muslimah yang dimalukan oleh tentera Rom di Mesir. Ini berbeda dengan keadaan negara-negara bangsa yang diciptakan oleh barat. Para pemimpin sekular umat Islam hanya akan “menyelamatkan” rakyat bangsanya sahaja. Tanpa merasa bertanggunjawab untuk menyelesaikan dan menyelamat nyawa dan kehormatan seluruh umat Islam. Ini adalah kerana fahaman dan jiwa mereka telah dicetak dan dibentuk oleh barat dengan fahaman Assabiyyah dan Wataniyyah. Walhal kedua-dua fahaman itulah yang telah memecah-belahkan umat Islam sehingga umat Islam menjadi lemah dan mudah diratah oleh Barat dan sekutu-sekutunya. Sudah tiba masanya khilafah mengantikan negara-negara bangsa ini dan menyatukan mereka di bawah seorang pemimpin.