Sehingga kini pergolakan di Mesir masih belum berakhir. Rakyat masih  tetap keluar ke Dataran Tahrir dan ke jalan-jalan utama untuk menekan  Presiden Mubarak agar berundur. Dalam masa yang sama, si diktator itu  masih tetap enggan melepaskan jawatannya dan melakukan pelbagai taktik  keji dan jahat untuk meleraikan tunjuk perasaan. Terdapat bukti bahawa  Gamal Mubarak, anak kepada Hosni Mubarak, mengupah sekumpulan penjenayah  untuk melakukan serangan ke atas penunjuk perasaan sehingga menyebabkan  kecederaan kepada lebih dari seribu orang yang berhimpun. Presiden  Amerika Syarikat, Barack Obama pula nampaknya sedang bermain tarik tali  dengan apa yang berlaku di mana ketua pengganas dunia ini sudah pun  memberi isyarat agar Mubarak berundur dan memberikan laluan kepada  ejennya yang lain pula untuk menjadi diktator Mesir. 
    
 Walaupun Obama menekankan kepada orderly transition (peralihan  kuasa yang tertib) tetapi hingga kini dia masih ‘mempertahankan’ Mubarak  di kerusi presiden. Ini bagi menguji dan memastikan ‘hambanya’ yang  baru iaitu Omar Suleiman, El-Baradei dan beberapa yang lain betul-betul  ‘menyembah’kan sepenuh taat setia kepada AS tanpa berbelah bahagi  apabila dilantik kelak. Dalam masa yang sama, AS juga sedang menjinakkan  pemimpin Ikhwanul Muslimin agar turut berada di barisan ejennya yang  baru. 
 
 Dalam kekecohan dan rusuhan yang berlaku di bumi para Anbiya’ itu sejak  lebih dua minggu lepas, kerajaan Malaysia juga teramat sibuk untuk  menyelamatkan rakyat Malaysia, khususnya para pelajar yang jumlahnya  lebih 10,000 orang yang menginap di beberapa kota utama di Mesir.  Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi tunjang kepada misi menyelamat  pelajar Malaysia di bawah operasi yang dinamakan sebagai ‘Ops Piramid’  bagi mengeluarkan rakyat Malaysia dengan selamat dari bumi Mesir.  Syarikat penerbangan MAS dan AirAsia turut diminta membantu. Bukan  sahaja kerajaan, parti pembangkang juga turut mendesak dan cuba  bergabung di dalam misi menyelamat rakyat Malaysia ini. Ramai di  kalangan ibubapa dan juga pihak pembangkang tidak berpuas hati dengan  kerajaan yang dikatakan lambat bertindak dan ada agenda politik di  sebalik operasi tersebut. Kerajaan pula bersungguh-sungguh menafikannya  dan meminta pembangkang agar tidak ‘mempolitikkan’ isu tersebut. 
 
 Harakahdaily.net melaporkan bahawa terdapat wakil dari Kelantan iaitu  bekas Presiden Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Zulkapli  Yaacob yang pada awalnya ditawarkan menyertai misi Mercy bagi menghantar  bantuan ke Mesir, tetapi kemudian diketepikan. “Saya telah serahkan  passport kepada pihak penganjur biar pun tahu di belakangnya ada Kelab  Putera Malaysia. Ketika taklimat diadakan di Kuala Lumpur setiap peserta  yang akan menyertai misi berkenaan diberi t-shirt berlambang  1Malaysia”, ujarnya tidak berpuas hati. Terdapat juga laporan bahawa  pelajar yang pro parti politik tertentu didakwa didahulukan dalam misi  menyelamat bagi memindahkan pelajar dari Mesir ke Jeddah, selain  terdapat maklumat bahawa ada ibu bapa pelajar yang datang ke Bilik  Gerakan Bantuan Kemanusian Mesir membuat aduan mereka ditanya oleh  petugas di Wisma Putera, “Encik datang dari UMNO Bahagian mana?”  [harakahdaily.net]. Berdasarkan perkembangan terbaru, kerajaan  menyatakan bahawa Ops Piramid telah hampir selesai di mana sebahagian  besar pelajar Malaysia telah berjaya dibawa pulang dengan selamat. Namun  demikian, terdapat lebih kurang 2000 pelajar yang berkeras tidak mahu  mahu balik walaupun telah ditawarkan berbuat demikian.
 
 Ops Piramid, Apa Yang Tak Kena?
 
 Di sebalik segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan misi  menyelamat pelajar Malaysia di Mesir ini, terdapat segelintir yang lain  berpuas hati dan berterima kasih kepada kerajaan di atas operasi yang  dijalankan. Di balik semua itu, tidak ramai yang melihat dan  membincangkan apakah aspek yang tidak kena dengan operasi ini, dipandang  dari sudut Islam. Jika dilihat dari perspektif kemanusiaan,  sesungguhnya usaha menyelamat itu adalah suatu yang baik, tetapi  tertakluk kepada syarat. Syaratnya adalah tindakan itu hendaklah  dilakukan semata-mata kerana Islam, bukan kerana yang lain. Ia mestilah  suatu tindakan yang didorong semata-mata oleh akidah Islam, bukan selain  dari itu. Jika ia dilakukan bukan kerana Islam, maka misi menyelamat  itu tidak akan dapat menyelamatkan pelakunya dari dosa kepada Allah dan  azab di akhirat. 
 
 Sekali pandang sahaja sudah cukup untuk kita menafsirkan bahawa misi  menyelamat itu bukan dilakukan atas dorongan ‘akidah Islam’. Baik  kerajaan mahupun pembangkang, semuanya melihat bahawa yang perlu  diselamatkan di sana adalah rakyat Malaysia atau lebih tepat lagi,  rakyat yang berwarganegara Malaysia atau yang memegang kad pengenalan  Malaysia! Itulah hakikatnya. Mereka langsung tidak memandang bahawa  rakyat Indonesia (yang belajar di Mesir) perlu diselamatkan, rakyat  Pakistan perlu diselamatkan, rakyat Arab Saudi perlu diselamatkan atau  rakyat negara mana pun yang belajar di Mesir perlu diselamatkan. Mereka  langsung tidak memandang bahawa rakyat Mesir itu sendiri perlu  diselamatkan, walaupun hakikatnya mereka semua itu adalah Muslim dan  walaupun hakikatnya akidah rakyat Indonesia, Pakistan, Arab Saudi dan  Mesir itu kesemuanya adalah ‘akidah Islam’. Mereka langsung tidak  memandang bahawa kesemua pihak tersebut adalah orang yang beragama Islam  dan merupakan saudara seakidah mereka yang wajib diselamatkan  kesemuanya!
 
 Persoalannya, kenapakah hanya rakyat Malaysia yang diselamatkan?  Jawapannya, tidak lain adalah kerana mereka itu ‘rakyat kita’! Apakah  yang membezakan orang Malaysia, orang Indonesia, orang Pakistan dan  orang Mesir? Bezanya adalah kerana seseorang itu memiliki sekeping ‘kad  pengenalan’ yang tertulis perkataan ‘Malaysia’ di atasnya, maka, jadilah  orang itu ‘orang Malaysia’. Jika yang tertulis di atas kad tersebut  adalah ‘Mesir’, maka jadilah dia orang Mesir. Dan apa pula yang  memisahkan negara yang bernama Malaysia, Indonesia, Mesir dan lain-lain  negara kaum Muslimin? Jawapannya, kerana sempadan palsu yang telah  dilakar oleh kuffar penjajah Barat setelah mereka menjajah tanah-tanah  kita lebih seabad yang lalu!!
 
 Kesemua sempadan imaginatif ini diwujudkan bagi memecah-belah,  mencerai-berai dan melemahkan kesatuan umat Islam. Kemudian kuffar Barat  melantik di setiap negara yang dipecahkan ini seorang ejen mereka yang  memerintah mengikut apa yang mereka kehendaki, bukannya mengikut apa  yang Allah kehendaki. Hasil dari penjajahan dan semua makar jahat Barat  inilah, maka umat Islam akhirnya terpecah-belah kepada negara-negara  kecil yang lemah dan tidak bermaya dan pemimpinnya tunduk kepada Barat  dan para pemimpin jahat ini pula berusaha bersungguh-sungguh  mempertahankan sempadan negara masing-masing yang telah dilakar oleh  Barat dan tidak mahu keluar darinya! Akibatnya, wujudlah negara  Malaysia, negara Indonesia, negara Mesir dan lain-lain negara umat Islam  yang tercerai-berai dan dibanggakan oleh pemerintah dan rakyat  masing-masing! 
 
 Setelah melakar sempadan-sempadan palsu ini, Barat telah meleraikan  ikatan suci umat Islam yakni ‘ikatan akidah’ yang selama ini menjadi  satu-satunya pengikat yang benar sesama kaum Muslimin. Ikatan suci ini  kemudiannya diganti dengan ‘ikatan sempadan’ atau wathaniyyah  (patriotisme) dan ikatan asabiyyah (nasionalisme). Akhirnya umat Islam  telah melebihkan ikatan wathaniyyah dan assabiyyah dari ikatan akidah  itu sendiri, sehingga jika ada apa jua masalah hatta masalah nyawa  sekalipun yang melanda umat Islam, maka ikatan yang akan didahulukan  oleh umat adalah ikatan sempadan dan ikatan nasionalisme, bukannya  ikatan akidah! 
 
 Ops Piramid yang dilancarkan oleh kerajaan Malaysia dan usaha-usaha  menyelamat rakyat Malaysia di Mesir hakikatnya merupakan manifestasi  dari ‘ikatan sempadan’ yang lebih diutamakan (untuk dijaga) dari ‘ikatan  akidah’ yang ada pada sesama Muslim. Walhal sesungguhnya Allah SWT  langsung tidak memandang manusia dengan ikatan sempadan kerana Allah  telah menyatukan manusia dengan ikatan akidah Islam. Tidak ada bezanya  antara orang Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Mesir dan sebagainya  selama mana mereka adalah orang yang mengucapkan La Ilaha Illallah  kerana dengan kalimah inilah Allah telah menyatukan kita semua di bawah  satu ikatan. Sesungguhnya darah umat Islam itu sama sahaja, darahnya  mulia dan wajib dijaga, tanpa mengira di negara manakah mereka lahir  atau tinggal, tanpa mengira bangsa apakah mereka dan tanpa mengira warna  apakah kulit mereka. Sabda Nabi SAW, 
 
 “Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kalian adalah satu dan bapa kalian  pun satu. Tidak ada keutamaan orang Arab atas orang ajam (bukan Arab)  dan tidak ada keutamaan orang ajam atas orang Arab, tidak ada keutamaan  orang berkulit hitam atas yang merah dan tidak ada keutamaan orang  berkulit merah atas yang hitam, kecuali dengan taqwa” [HR Ahmad].
 
 Umat Islam diharamkan mengikat diri mereka dengan ikatan patriotisme dan  nasionalisme kerana ia bertentangan dengan hukum penyatuan umat Islam  yang diwajibkan oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman, 
 
 “Sesungguhnya umat ini adalah umat yang satu dan Aku adalah Rabbmu, maka bertakwalah kepadaKu” [TMQ al-Mukminun (40):52].
 Firman Allah yang lain, 
 
 “Sesungguhnya orang-orang beriman adalah bersaudara” [TMQ al-Hujurat (49):13]. 
 
 Ayat ini dengan tegas menunjukkan bahawa umat Islam adalah bersaudara  yang diibaratkan oleh Rasulullah SAW sebagai tubuh yang satu. Kesemua  kesatuan dan persaudaraan ini adalah kerana umat Islam ini diikat oleh  kesamaan ‘aqidah Islamiyyah’ (iman), bukannya oleh kesamaan bangsa atau  tanahair. Rasulullah SAW bersabda, 
 
 “Tidak termasuk umatku orang yang menyerukan kepada assabiyyah, berperang kerana assabiyyah dan mati kerana assabiyyah” [HR Abu Dawud]. 
 
 Cintakan Tanahair, Dari Mana Asalnya?
 
 Ada sebahagian dari umat Islam yang memperjuangkan wathaniyyah  beristidlal (menggunakan dalil) dengan ‘hadis’ yang berbunyi “hubbul  wathan minal iman” (cintakan tanahair sebahagian daripada iman).  Malangnya mereka tidak mengkaji kedudukan sebenar ‘hadis’ ini. Ungkapan  “hubbul wathan minal iman” sebenarnya adalah hadis palsu (maudhu’),  dengan kata lain ia bukanlah hadis. Demikianlah menurut para ulama ahli  hadis yang terpercaya. Dalam kitab Tahdzirul Muslimin karya Syaikh  al-Azhari asy-Syafi’i hal. 109 diterangkan bahawa hadis “hubbul wathon  minal iman” adalah maudhu’ (palsu). Demikian juga penilaian Imam  as-Sakhawi dan Imam ash-Shaghani. Imam as-Sakhawi (w. 902 H) menerangkan  kepalsuannya dalam kitabnya al-Maqasid al-Hasanah fi Bayani Katsirin  min al-Ahadits al-Musytaharah ‘ala Alsinah, hal. 115. Imam ash-Shaghani  (w. 650 H) pula menerangkan kepalsuan ‘hadis’ ini di dalam kitabnya  Al-Maudhu’at, hal. 8. 
 
 Penilaian palsunya hadis tersebut juga dapat dirujuk pada rujukan lain  seperti berikut, (i) Kasyful Al-Khafa’ wa Muzilu al-Ilbas, karya Imam  Al-Ajluni, Juz I hal. 423 (w. 1162 H), (ii) Ad-Durar Al-Muntatsirah fi  al-Ahadits al-Masyhurah, karya Imam Suyuthi, hal. 74 (w. 911 H), (iii)  At-Tadzkirah fi al-Ahadits al-Musytaharah, karya Imam Az-Zarkasyi, hal.  11 (w. 794 H) [lihat Syeikh al-Azhari asy-Syafi’i, Tahdzirul Muslimin  min al-Ahadits a-Maudhu’ah ‘Ala Sayyid al-Mursalin, hal. 109]. 
 
 Ringkasnya, ungkapan “hubbul wathan minal iman” adalah hadis palsu  (maudhu’) atau dengan kata lain ia bukanlah hadis Nabi SAW. Oleh yang  demikian, kami mengingatkan kepada seluruh kaum Muslimin agar tidak  mengatakan “hubbul wathan minal iman” sebagai hadis, sebab Nabi SAW  memang tidak pernah mengatakannya. Menisbahkan ungkapan itu kepada Nabi  SAW adalah sebuah kedustaan yang nyata atas nama Nabi SAW dan ingatlah  bahawa Nabi SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis mutawatir,  “Barangsiapa yang berdusta atasku dengan sengaja, maka hendaklah ia  menempatkan tempat duduknya di neraka”. 
 
 Jika kita menelusuri sejarah Islam, kita akan dapati bahawa Islam memang  tidak pernah mengenal perjuangan wathaniyyah dan assabiyyah ini,  kecuali setelah zaman perang pemikiran (al-ghazwul fikri) pada abad  ke-17 Masihi yang dilancarkan kaum penjajah yang cuba menakluk dan  memecah-belahkan Daulah Khilafah. Mereka melancarkan serangan pemikiran  melalui para misionaris dan merekayasa parti-parti politik rahsia untuk  menyebarluaskan kedua-dua idea sesat ini. Banyak kelompok misionaris  British, Perancis dan Amerika didirikan di dalam Daulah di sepanjang  abad ke-17, 18, dan 19 Masihi untuk menjalankan misi tersebut. 
 
 Namun, usaha mereka menemui kegagalan demi kegagalan sehinggalah pada  tahun 1857, penjajah kuffar mula menuai kejayaan tatkala berdirinya  Persatuan Sains Syria (Syrian Scientific Society) yang menyerukan  nasionalisme Arab. Sebuah sekolah misionaris terkemuka dengan nama  Al-Madrasah Al-Wathaniyah telah didirikan di Syria oleh Butros  Al-Bustani, seorang Kristian Arab (Maronit). Nama sekolah ini menjadi  simbol intipati dan kejayaan misi Barat dalam menerapkan fahaman  wathaniyyah (hubbul wathan, cintakan tanah air) di dunia Islam. Langkah  yang sama terjadi di Mesir, ketika Rifa’ah Badawi Rafi’ At-Tahtawi (w.  1873M) mempropagandakan wathaniyyah dan sekularisme. Setelah itu,  berdirilah beberapa parti politik yang diasaskan atas perjuangan  patriotisme dan nasionalisme dan parti-parti ini kemudiannya digerakkan  untuk menghancurkan Daulah Khilafah yang berpusat di Turki ketika itu. 
 
 Sepanjang zaman kemerosotan Khilafah Uthmaniyyah, kaum kuffar berhimpun  dan bekerjasama untuk merobek-robek negara Khilafah, antaranya melalui  perjanjian Sykes-Picot pada tahun 1916 ketika British dan Perancis  merencana untuk membahagi-bahagikan wilayah Khilafah. Kemudian pada  tahun 1923, dalam Perjanjian Versailles dan Lausanne, rencana itu mula  diimplementasikan. Dari sinilah lahirnya negara-negara Irak, Syria,  Palestin, Lebanon dan Transjordan. Kesemuanya berada di bawah mandat  British, kecuali Syria dan Lebanon yang berada di bawah Perancis. Hal  ini kemudian diikuti dengan usaha British dalam merancang kelahiran  Pakistan. Kewujudan semua negara-bangsa ini tiada lain adalah hasil  perancangan imperialis kuffar yang berjaya memecahbelahkan kesatuan  negara kaum Muslimin. Begitu juga Malaysia dan Indonesia, semuanya tidak  lepas dari perancangan penjajah menyebarkan fahaman patriotisme dan  nasionalisme dalam tubuh umat Islam agar umat ini tidak dapat bertaut  kembali di bawah negara yang satu yakni negara Khilafah. 
 
 Khatimah
 
 Wahai kaum Muslimin! Sesungguhnya keseluruhan bumi ini diwariskan oleh  Allah kepada orang-orang yang beriman dan sesungguhnya bumi Allah ini  sama sahaja tidak kira di mana kedudukannya. Allah Azza Wa Jalla tidak  pernah membezakan bumi Malaysia dari bumi Mesir, bumi Arab Saudi dari  bumi Irak dan sebagainya. Maha Suci Allah yang telah mencipta  keseluruhan bumi ini dengan kekuasaan dan kehendakNya. Dia tidak pernah  membezakan kaum Muslimin di bumi mana sekalipun Muslim itu tinggal.  Justeru, apakah hak manusia untuk membeza-bezakan seseorang Muslim  dengan Muslim yang lain hanya kerana perbezaan tempat kelahiran dan  perbezaan kewarganeraan sedangkan setiap Muslim itu mengucapkan kalimah  La Ilaha Illallah yang sama? Wahai kaum Muslimin! Wahai umat Islam di  Malaysia! Sedarlah! Campakkanlah sejauh-jauhnya perasaan, semangat dan  perjuangan wathaniyyah dan assabiyyah yang sesat lagi menyesatkan!  Kembalilah kepada ikatan yang hakiki...ikatan yang menjadikan umat Islam  umat yang satu, umat yang mulia yang menjadi pewaris bumi Allah ini  kesemuanya. Ingatlah bahawa sesungguhnya daripada tanah kita berasal dan  kepada tanah kita kembali...maka janganlah sekali-kali kalian  membeza-bezakan tanah ciptaan Allah, di bumi mana sekalipun tanah itu  berada, baik di bumi Malaysia, bumi Indonesia mahupun bumi Mesir kerana  yang pasti, di bumi Allah inilah kita semua akan disemadikan.
tentang diriku
 
- Shah Shukri
- Taiping, Perak, Malaysia
- "Suatu hari nanti kita pasti berhenti bekerja dengan manusia, tetapi tiada istilah berhenti bekerja dengan Allah melainkan perjuangan berakhir bersama nafas terakhir"
Selamat Datang
Kepada yang sudi melayari blog saya ini,saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih serta pengharapan saya agar anda semua diisi pengetahuan yang bermanfaat dan saya amat berharap agar anda semua dapat berkongsi pengetahuan dengan saya...Insyaallah.
islamic clock
 
switch blog
islamic calendar
 
jom chat...!!!
Facebook Badge
my Friends
Labels
- hudud (1)
my Ads
Followers
By ShahShukri. Powered by Blogger.
Posted by
Shah Shukri
Wednesday, February 16, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
                          


 
  

