Dalam khutbah Nabi Muhammad yang terakhir, baginda telah bersabda “Telah  sempurna agama Islam untuk kamu dan aku reda agama Islam itu agama  kamu”. Ini jelas menunjukkan bahawa agama Islam adalah agama yang sudah  lengkap dan merangkumi setiap aspek kehidupan manusia.
 Ketika Islam tersebar luas di Semenanjung Arab hingga ke Eropah dan juga  ke Asia, maka banyaklah mubaligh-mubaligh Islam dari kalangan  orang-orang Arab dan bukan Arab yang datang membawa agama Islam ke  sebelah Asia Tenggara sebagai pedagang menyebabkan Islam mula bertapak  dan berkembang pesat. Seperti contoh, Melaka menjadi pusat perdagangan  yang mahsyur dan kerajaan Melaka adalah kerajaan Islam. 
 Bermula dari itu, timbullah perkahwinan campur dari pelbagai kaum antara  Melayu tempatan dengan pedagang-pedagang Arab dan India. Kepelbagaian  kaum yang wujud hasil dari perkahwinan campur ini banyak mempengaruhi  dan menjadikan adat resam masyarakat Melayu pada ketika itu begitu unik  dan bercampur aduk dengan adat atau budaya bangsa pendatang selain  bangsa Melayu itu sendiri. 
 Adat ini dibawa dari generasi ke generasi sehinggalah ke hari ini. Jika  P.Ramlee dalam lagunya, menyatakan irama dan lagu tidak boleh  dipisahkan, jika dipisahkan, rosaklah lagu pincanglah irama. Maka,  begitu jugalah adat dengan agama. 
 Adat dan agama bukanlah dua isu yang berbeza, bahkan keduanya adalah  satu. Adat didefinasikan sebagai pola kehidupan manusia dalam kelompok  yang dibentuk, dihayati dan diamalkan dalam hubungan sesama anggota  kelompok. 
 Adat dibuat dan ditentu oleh manusia, manakala budaya atau adat resam  terus mengalami perubahan, baik dari sudut geografi (seperti adat  perpatih, dan temenggung), waktu (seperti adat primitif dan masa kini),  status sosial (bangsawan atau rakyat), mahupun usia (adat orang tua dan  muda). Adat seharusnya berlandaskan kepada agama yang benar. 
 Masyarakat Melayu di Malaysia sinonimnya dikaitkan dengan Islam.  Masyarakat Melayu Islam seharusnya tidak keliru di antara adat dan agama  supaya nanti tiada yang mengatakan adat yang bercanggah dengan Islam  itu adalah salah satu dari tradisi agama Islam. 
 Adat resam Melayu berkait dengan cara hidup Melayu itu sendiri, dari  mula lahir seseorang anak hinggalah anak itu berkahwin dan seterusnya  berakhir dengan kematian. 
 Agama Islam seharusnya membimbing adat resam atau budaya Melayu supaya  berlandaskan agama dan tidak mengamalkan kepercayaan karut, khurafat dan  syirik kepada tuhan. 
 Dalam konteks aqidah, khurafat bermaksud bidaah aqidah yang merupakan  kepercayaan kepada sesuatu yang menyalahi syariat yang dibawa oleh  Rasulullah S.A.W. 
 Ia juga boleh diertikan sebagai amalan yang tidak mempunyai hakikat  kebenaran. Selain itu ia merupakan perkara tahyul yang pada kebiasaannya  tidak boleh diterima oleh akal. Seseorang itu boleh dianggap  mengamalkan perkara yang khurafat apabila ia berpegang dan beriktiqad  dengan perkara-perkara yang bukan daripada ajaran Islam, tidak munasabah  dan tidak dapat diterima oleh akal yang waras. 
 Masyarakat Melayu Islam wajib mempercayai bahawa Islam merupakan agama  yang suci daripada segala sesuatu yang tidak berfaedah dan Islam juga  tidak menghendaki umatnya hidup dalam dunia khayalan atau berbuat  sesuatu yang karut lebih-lebih lagi sekiranya ia bertentangan dengan  Al-Quran dan As-Sunnah. 
 Firman Allah S.W.T.: 
 Maksudnya : Syaitan itu menjanjikan kepada kamu kefakiran dan menyuruh  kamu dengan kejahatan, tetapi Allah menjanjikan kamu dengan keampunan  daripada-nya dan kelebihan dan Allah maha luas pengetahuannya. 
 (Al-Baqarah ayat 268)
 Ayat ini mengingatkan bahawa matlamat syaitan adalah untuk memperdaya  dan mengelirukan manusia. Kepercayaan terhadap khurafat amat besar  kesannya kepada umat Islam kerana ia akan merosakkan aqidah hingga boleh  membawa kepada kekufuran dan syirik kepada Allah S.W.T. 
 Kepercayaan kepada perkara-perkara khurafat seperti kuasa penyakit  berjangkit, perkara kepada burung hantu boleh membawa keburukan, atau  bala’ bulan safar dan lain-lain adalah satu anggapan buruk dan bidaah  yang keji serta wajib dihindari oleh umat Islam. 
 Sabda Rasulullah S.A.W : 
 Maksudnya : Tiada jangkitan, tiada sial, tiada kemudharatan burung  hantu, tiada bala bulan safar dan larilah engkau dari orang yang  berpenyakit kusta seperti engkau lari dari singa. 
 (Riwayat Bukhari)
 Sesuatu bala’ atau musibah tidak akan terjadi kepada manusia kecuali  dengan kehendak Allah S.W.T. disamping sebab musabab kejadian tersebut. 
 Namun begitu, ada kalangan sesetengah masyarakat Islam yang masih  mengamalkan amalan berbentuk khurafat seperti mandi safar untuk menolak  bala dan membersihkan dosa, menyembah pantai untuk meminta agar mereka  selamat apabila berada dilautan, kepercayaan sesetengah orang tentang  adanya sial seperti biawak yang melintasi seseorang atau masuk ke dalam  rumah dikatakan kecelakaan akan menimpa, adalah karut semata-mata. 
 Begitu juga dengan menepung tawar untuk menolak bala. Semua itu adalah  kepercayaan khurafat yang mesti dihapuskan. 
 Dari aspek psikologi pula, sesiapa yang mempercayai khurafat fikirannya  tidak bebas dan berkembang kerana dibelenggu perasaan takut melanggar  batas-batas dan kepercayaan turun menurun. 
 Ia boleh menyebabkan seseorang itu lemah akal dan imannya kerana  kepercayaan terhadap amalan khurafat tersebut telah menafikan  kepercayaan kepada konsep qada dan qadar Allah S.W.T. selain itu, ia  boleh menjadikan seseorang itu malas berusaha, mudah putus asa, tidak  bertawakal kepada Allah S.W.T. dan tidak yakin untuk menghadapi cabaran  dan dugaan hidup. 
 Antara faktor yang mempengarui wujudnya amalan khurafat dalam masyarakat  Melayu Islam adalah kerana kurangnya pengetahuan agama dimana  sesetengah masyarakat Melayu Islam tidak mempunyai pegangan yang kuat  terhadap agama Islam kerana masih mencampuradukkannya dengan  kepercayaan-kepercayaan karut yang diterima turun-temurun dari nenek  moyang. Oleh itu, masyarakat Melayu Islam sepatutnya sedar dan insaf dan  kembali kepada Allah S.W.T. dan rasulnya dengan merujuk kepada Al-Quran  dan As-Sunnah. 
 Di samping itu, masyarakat Melayu Islam mestilah memperkukuhkan keimanan  kepada Allah S.W.T. dengan menolak kepercayaan yang bertentangan dengan  ajaran Islam. Tiada konsep sial atau bertuah kerana orang yang beriman  dan menurut perintah Allah dan rasulnya itulah orang yang bertuah,  manakala orang yang ingkar dan tidak taat kepada Allah S.W.T. adalah  orang yang akan mendapat kecelakaan. 
 Bulan Safar adalah salah satu bulan di antara bulan-bulan Islam yang  sama dengan bulan-bulan yang lain, tiada bala’ atau sial dalam bulan  Safar. 
 Banyak adat resam masyarakat Melayu yang boleh dikupas satu persatu  mengikut penilaian agama, dan jika dinilai dari sudut agama Islam,  banyak yang telah lari dan terpesong. 
 Persoalannya kenapakah masih ada masyarakat Melayu Islam yang masih lagi  mengamalkan adat resam yang nyata bercanggah dengan agama Islam yang  dianuti? Pepatah ada mengatakan bahawa “biar mati anak, jangan mati  adat”, begitu sekali ungkapan yang diberi menunjukkan bahawa adat resam  telah sebati dalam pemakaian kehidupan harian masyarakat Melayu  sehinggakan ada yang tidak dapat membezakan yang mana satu baik atau  buruk untuk amalan seharian.            
tentang diriku
 
- Shah Shukri
- Taiping, Perak, Malaysia
- "Suatu hari nanti kita pasti berhenti bekerja dengan manusia, tetapi tiada istilah berhenti bekerja dengan Allah melainkan perjuangan berakhir bersama nafas terakhir"
Selamat Datang
Kepada yang sudi melayari blog saya ini,saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih serta pengharapan saya agar anda semua diisi pengetahuan yang bermanfaat dan saya amat berharap agar anda semua dapat berkongsi pengetahuan dengan saya...Insyaallah.
islamic clock
 
switch blog
Blog Archive
- 
▼ 
2010
                                (77)
                              
- 
▼ 
October
                                (16)
                              
- DUNIA MENDERITA KERANA PBB
- HALATUJU POLITIK BARU, MENGHALA KE MANA?
- Najib Konon Berlagak Membela Islam
- Hutang RM362b tapi kerajaan bernafsu besar
- Ubah Seri Perdana: RM65j besar bagi rakyat Galas
- Candu hiburan agar rakyat lalai petaka rasuah
- Yang Mana Satu Idaman Kalbu?
- Antara Adat dan Agama : Satu Penilaian
- Umno BN keluar dari amalan demokrasi
- Ulama muda Umno patut nasihat, bukan kipas
- Kehancuran Daulah Khilafah - punca kepada seluruh ...
- Mahkamah Tinggi Syariah Yang Tidak Syariah
- Isu Buang Bayi: Lagi Idea 'Bijak' Rosmah
- Gelombang Kebangkitan Perjuangan Khilafah Di Bumi ...
- Masalah Air: Lihatlah Salah Satu Penipuan 1Malaysia
- Najib Bak Manusia Yang Tersihir Oleh Obama
 
 
- 
▼ 
October
                                (16)
                              
islamic calendar
 
jom chat...!!!
Facebook Badge
my Friends
Labels
- hudud (1)
my Ads
Followers
By ShahShukri. Powered by Blogger.
Posted by
Shah Shukri
Tuesday, October 26, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
                          


 
  

