FLAG OF THE TRUTH

1 Khilafah : Hukum Allah didahulukan,Sistem Islam yg sebenar diutamakan. “Menamatkan Kepungan Terhadap Gaza Bukanlah Dengan Kecaman Dan Kunjungan Ke PBB Tetapi Dengan Menggerakkan Tentera Mengelilingi Entiti Yahudi Umpama Gelang Yang Mengelilingi Tangan”


Penganggur disebat enam kali minum arak

KUANTAN, 30 Sept – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menjatuhkan hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 ke atas seorang buruh atas tuduhan meminum arak di khalayak ramai di sini pada Februari lalu. Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas Mohamed Rezzal Mohamed Yussof, 24, mengekalkan pengakuan bersalah walaupun mahkamah telah memberikan masa untuk dia melantik peguam. Abdul Rahman juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama satu tahun sekiranya dia gagal membayar denda itu. Mengikut fakta kes, Mohamed Rezzal didakwa minum arak berjenama Tiger dalam tin minuman dengan isipadu 350 mililiter (ml) di tempat letak kereta di bumbung pusat beli-belah Kuantan Parade di sini pukul 5.30 petang, 13 Februari lalu ketika sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang mengadakan operasi penguatkuasaan.

Tertuduh yang memilih untuk tidak diwakili peguam syarie dituduh mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya beserta sebatan maksimum enam kali. Dalam rayuannya tertuduh memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman denda minimum dan tidak dipenjara dengan alasan ia boleh menggelapkan masa depannya. Bagaimanapun, dalam penghakimannya, Abdul Rahman berkata mahkamah perlu menjatuhkan hukuman selaras dengan undang-undang untuk menginsafkan tertuduh dan orang lain supaya menjauhi perbuatan meminum arak yang jelas bertentangan dengan syarak. Abdul Rahman berkata tertuduh pada sepanjang perbicaraan juga mengekalkan pengakuan bersalah sejak kes disebut kali pertama pada 24 Mei lalu. “Walaupun diberi peluang untuk melantik peguam, tertuduh tetap enggan berbuat demikian serta mengekalkan pengakuan bersalah dan selepas mengambil kira pengakuan dan laporan air kencing yang mengandungi 254 miligram alkohol bagi setiap 100 ml air kencing seperti dikemukakan pihak pendakwaan, mahkamah mensabitkan tertuduh bersalah,” katanya. – Bernama

Sumber: The Malaysian Insider 01/10/10

Mahkamah Tinggi Syariah Terus Menjatuhkan Hukuman Yang Tidak Syariah

Nampaknya sekali lagi Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus menjatuhkan hukuman kepada pesalah meminum arak dengan hukuman yang tidak syari’e. Usaha dan tindakan untuk mencegah dan menghalang umat Islam dari meminum arak, yang merupakan salah satu dari kesalahan yang dikategorikan sebagai jenayah hudud, dapat dianggap sebagai suatu usaha yang baik tetapi tidak kepada bentuk hukuman yang dijatuhkan. Ini kerana secara jelas institusi itu tidak menjatuhkan hukuman sebagaimana yang dituntut oleh Allah dan RasulNya. Maka apa yang dilakukan oleh Datuk Abdul Rahman Yunus dengan menjatuhkan hukuman sebat dan denda kepada pesalah yang meminum arak itu adalah suatu “bida’ah” yang cukup besar, seperti melihat seseorang solat zuhur dengan 3 atau 5 rakaat. Sudah pasti seorang Muslim yang baik tidak akan sanggup melakukan bida’ah tersebut! Tetapi faktanya itulah yang berlaku di Malaysia saat ini. Oleh itu, bagi mereka yang masih setia dengan institusi yang tidak syariah ini, kami ingin memuhasabah agar mereka bergerak bersama-sama kelompok yang berusaha menegakkan kembali hukum-hukum syariah dengan berusaha mewujudkan institusi Khilafah. Semoga dengan ini, sistem ’uqubat Islam akan dapat ditegakkan di atas muka bumi ini. Bukankah Rasulullah SAW telah bersabda: ”Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Had yang ditegakkan di muka bumi lebih baik bagi penduduk bumi daripada turunnya hujan selama 40 hari”. Oleh itu kenapakah Datuk Abdul Rahman Yunus dan juga yang seangkatan dengannya begitu berani menyanggah secara terang-terang hukuman yang telah ditentukan oleh Allah dan RasulNya?

0 comments: