BERA: Slogan Kampungku Syurgaku mungkin sukar dinikmati penduduk tanah  rancangan FELDA Purun, dekat sini jika masalah bekalan air yang dihadapi  lebih sedekad lalu, terus menghantui kehidupan mereka.  Masalah itu  kerap berlaku kepada sebahagian daripada 437 peneroka FELDA yang tinggal  di kawasan tinggi itu hingga ada yang mendakwa anak dan cucu mereka  tidak berminat pulang berhari raya kerana bimbang terpaksa berdepan  masalah bekalan air. Jika perkara itu berlarutan, mereka juga bimbang  hubungan kekeluargaan semakin renggang dan sukar mengadakan majlis  keramaian sesama ahli keluarga. 
 
 Mereka mendakwa masalah gangguan bekalan air itu sudah berlarutan hampir  20 tahun lalu dan setiap kali aduan dibuat kepada Jabatan Bekalan Air  (JBA) Pahang, mereka sering menerima alasan yang sama iaitu masalah paip  pecah, kerosakan mesin penyedut air dan ketiadaan bekalan elektrik. 
    
 Keadaan itu menyebabkan peneroka terpaksa berusaha mengatasinya sendiri  termasuk menyediakan tangki air, membina kolam bersimen, menggali telaga  dan mengangkut air dari sungai berhampiran. 
 
 Malah, mereka juga mendakwa terpaksa mengeluarkan kos sendiri bagi  mendapatkan khidmat pengusaha lori persendirian bagi mengangkut air jika  berlaku kejadian kematian atau mengadakan kenduri yang memerlukan  bekalan air bersih yang banyak. 
 
 Seorang peneroka, Othman Salleh, 57, berkata anak serta cucunya kurang  berminat balik ke tanah rancangan FELDA kerana masalah bekalan air. 
 
 Katanya, setiap kali sebelum pulang ke kampung, mereka akan bertanya  mengenai bekalan air dan meminta supaya memastikan bekalan air pulih  kerana tidak mahu menghadapi kesulitan untuk mandi, solat dan  mendapatkan air minuman. 
 
 “Saya terpaksa menyediakan sembilan tangki air dan setiap satunya boleh  menyimpan 1,000 gelen air bagi memastikan bekalan mencukupi sekiranya  anaknya pulang ke sini. 
 
 “Saya sudah membelanjakan lebih RM10,000 bagi pemasangan saluran paip  serta membina tempat meletakkan tangki air,” katanya ketika ditemui di  rumahnya. 
 
 Beliau yang mempunyai tujuh anak serta 8 cucu sanggup berbelanja untuk  memastikan mereka boleh balik ke kampung terutama musim cuti  persekolahan atau perayaan seperti sambutan Aidilfitri. 
 
 Seorang lagi peneroka, Lagiman Jamil, 64 berkata, mereka tidak puas hati  dengan masalah bekalan air di kawasan tanah rancangan FELDA yang sering  terputus. 
 
 Katanya, ada peneroka yang tinggal di kawasan tinggi mendakwa mereka  tidak mendapat bekalan air lebih dua bulan hingga terpaksa mendapatkan  bekalan air sungai sejauh lebih enam kilometer. 
 
 “Pelbagai cara sudah dilakukan termasuk membuat aduan kepada JBA, wakil  rakyat dan pegawai pembangunan daerah namum belum ada tindakan  sewajarnya diambil. 
 
 “Peneroka risau sekiranya keadaan berlarutan masalah hubungan  kekeluargaan menjadi semakin renggang kerana anak dan cucu mereka tidak  berminat balik ke tanah rancangan FELDA ini,” katanya. 
 
 Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Kawasan Guai, Norol  Azali Sulaiman, berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan bantuan  kewangan dari kerajaan Pusat sebanyak RM50 juta untuk menaik taraf  saluran paip air di kawasan tanah rancangan FELDA berkenaan. 
 
 Katanya, buat masa ini permohonan itu belum diluluskan dan agensi  pembangunan daerah sedang berusaha untuk membaiki sistem bekalan air  bersih. 
 
 “Selain itu, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) turut menyediakan 32  lori tangki untuk membekalkan air ke rumah kediaman pada peneroka yang  tinggal di kawasan tinggi.   “Langkah sementara ini dilakukan bagi  membantu meringankan masalah dihadapi peneroka terutama apabila  menyambut perayaan atau ingin mengadakan majlis keramaian,” katanya. 
 
 Sumber: Berita Harian 27/09/10
 
 Suara Ummah: Khianatnya Pemerintah Sekular Hari Ini
 
 Di kala slogan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan  dikumandangkan di sana-sini, dan setelah lebih 53 tahun Malaysia  dikatakan merdeka, masih ada lagi masalah keperluan asas seperti air  yang tidak diurus dengan sempurna. Masalah bekalan air yang dialami oleh  penduduk Felda Purun di atas yang dilaporkan sudah berlarutan hampir 20  tahun adalah merupakan bukti yang cukup nyata untuk kita renungi betapa  khianatnya pemerintah sekular hari ini. 20 tahun adalah suatu tempoh  masa yang cukup panjang sebenarnya. Sudah melalui sekurang-kurang 4 kali  pilihanraya umum dan sudah berganti 3 orang Perdana Menteri. Keadaan  seperti ini adalah suatu fenomena yang biasa sebenarnya di dalam  kehidupan mana-mana sistem pemerintahan ciptaan manusia termasuklah  sistem sekular Kapitalisme yang masih lagi berdiri kukuh di Malaysia  saat ini. Rakyat akan terus ditipu dengan janji-janji manis kosong  terutama apabila menjelangnya setiap kali pilihanraya. Di mana Perdana  Menteri Malaysia? Di mana Menteri Besar Pahang? Di mana Ahli Parlimen  Bera? Cukupkah dengan apa yang dilakukan oleh ADUN Guai setakat ini?  Bukankah mereka ini semua adalah pemimpin yang mempunyai kuasa? Dan  apakah mereka tidak merasa gerun dengan apa yang diperingat oleh  Rasulullah SAW ?  Sabda Rasululllah SAW: “Seseorang yang memimpin kaum  muslimin dan dia mati, sedangkan dia menipu mereka(umat) maka Allah SWT  akan mengharamkan dia masuk ke dalam syurga” [HR Bukhari dan Muslim].  Sabdanya lagi: “Seseorang yang ditetapkan oleh Allah (dalam kekuasaan)  mengurus kepentingan umat dan dia tidak memberikan nasihat kepada  mereka(umat) dia tidak akan mencium bau syurga”. [HR Bukhari]. 
 
 Apakah para pemimpin yang berkuasa saat ini tidak merasakan walaupun  sedikit kegerunan dengan apa yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW itu?  Renungilah sedikit kisah bagaimana takutnya Khalifah Umar  Al-Khattab  terhadap Allah SWT : “Suatu hari ketika beliau sedang sibuk dengan satu  pekerjaan yang penting, datang seorang membawa pengaduan mengenai suatu  hal kecil agar beliau dapat menyelesaikannya. Umar ra lalu memukul bahu  pemuda itu sambil berkata: “Apabila aku duduk untuk menerima perkara  tersebut, kamu tidak datang menemuiku tetapi apabila aku sibuk dengan  lain-lain perkara yang penting kamu mencelahiku dengan perkara remeh  temeh”.  Pemuda itu pun pergi dari situ. Tetapi Umar ra memanggilnya  kembali dan memberinya cemeti lalu berkata: “Pukullah aku dengan cemeti  ini supaya kesalahanku terbalas”. Pemuda itu berkata;  “Aku maafkan kamu  kerana Allah”. Umar ra pulang ke rumahnya lalu bersolat taubat dua  rakaat serta mencela dirinya sendiri: “Wahai Umar! Kamu dahulu hina maka  Allah mengangkat darjatmu, kamu dulu sesat tetapi Allah telah  memberikan kamu hidayah kepadamu, kamu dulu sangat mengaibkan tetapi  Allah memuliakan kamu serta mengurniakan kamu kekuasaan terhadap orang  lain. Sekarang apabila salah seorang datang kepadamu mengadu mengenai  sesuatu kesalahan yang telah dilakukan terhadapnya untuk diselesaikan,  kamu memukulnya? Apakah jawapan yang akan kamu berikan di hadapan Allah  kelak?”. Beliau menangis begitu lama seperti tangisan kanak-kanak kecil.  
 
 Sebuah lagi kisah Umar: ”Suatu hari Umar membuat rondaan biasanya ke  Harrah bersama hambanya Aslam. Nun jauh di sana kelihatan suatu cahaya  api. Beliau berkata: “Mungkin di sana ada sebuah khemah. Mungkinkah  khalifah tidak dapat memasuki suatu bandar kerana waktu telah gelap?  Marilah kita melihat hal mereka dan menguruskan keselamatan yang perlu  untuk mereka”. Apabila tiba di sana didapati seorang wanita dan beberapa  orang kanak-kanak sedang menangis. Sebuah periuk berisi air sedang  terjerang. Umar menyapanya dengan salam dan dengan keizinan daripada  wanita itu beliau datang menghampirinya. Lalu Umar bertanya: “Mengapa  kanak-kanak itu menangis?”.  Wanita itu tidak mengenali Umar dan dia  menjawab pertanyaan Umar dengan sedih: “Mereka lapar”. “Apakah yang ada  dalam periuk?”. Umar bertanya.  “Hanyalah air dijerang bagi mendiamkan  kanak-kanak itu agar mereka pergi tidur dengan harapan makanan sedang  disiapkan untuk mereka apabila meraka bangun nanti. Ah! Allah akan  mengadili Umar pada hari kiamat kelak kerana membiarkan aku dalam  kesusahan”, kata wanita itu. Umar menangis apabila mendengar kata-kata  wanita itu. “Semoga Allah merahmatimu. Bagaimanakah Umar dapat  mengetahui kesusahanmu ini?’. Wanita itu menjawab:   “Apabila dia  menjadi amir kami, dia perlulah tahu mengenai kami”. Umar pun kembali ke  bandar dan terus ke Baitul Mal. Beliau mengisi tepung, kurma, lemak dan  pakaian serta wang dinar ke dalam karung. Apabila telah siap diisi  beliau berkata kepada Aslam: “Sekarang letakkanlah karung ini di  belakangku wahai Aslam”.  Aslam enggan lalu menjawab:  “Wahai Amirul  Mukminin, biarlah aku sahaja yang memikulnya”.  Umar enggan mendengar  kata-kata Aslam malah beliau mendesaknya agar membenarkannya memikul  barang itu di atas pundaknya sambil berkata: “Apa! Mahukah kamu memikul  beban dosaku pada hari akhirat? Aku mesti membawa karung ini  kerana aku  akan disoal mengenai wanita ini pada hari akhirat kelak”.  Dengan  perasaan yang berat Aslam meletakkan barang tersebut di atas belakang  Umar lalu bergerak pantas ke khemah wanita tadi. Aslam mengikut beliau  dari belakang. Beliau memasukkan sedikit tepung, kurma dan lemak ke  dalam periuk dan mengacaunya. Beliau menghidupkan api untuk memasaknya.   Aslam berkata; “Aku lihat asap melalui celah-celah janggut Umar yang  tebal”.  Seketika kemudian masakan tersebut siap. Beliau sendiri yang  melayani keluarga itu. Setelah kenyang beliau menyimpan bakinya untuk  kegunaan mereka di kemudian hari. Kanak-kanak tersebut sangat gembira  setelah memperolehi makanan dan mereka bermain dengan riangnya selepas  itu. Wanita itu sangat gembira dan berkata:  “Semoga Allah memberi  ganjaran kepadamu kerana kebaikanmu. Selayaknya kamulah yang mengambil  tempat Umar sebagai khalifah”.  Beliau duduk seketika di suatu penjuru  yang berdekatan sambil memerhatikan kanak-kanak tersebut. Kemudian  kembali ke Madinah. Dalam perjalanan pulang beliau berkata kepada  Aslam:  “Tahukah kamu Aslam, mengapa aku duduk di situ? Aku telah  melihat kesusahan mereka, maka begitulah juga aku mahu melihat mereka  riang dan ketawa untuk seketika”. 
 
 Bandingankanlah kisah Umar di atas dengan pemimpin yang ada sekarang.  Apakah akan muncul untuk kali keduanya pemimpin seperti  Umar? Semuanya  itu akan terjawab apabila umat sedar dan bergerak dengan  bersungguh-sungguh bagi merealisasikan Khilafah untuk kali yang  keduanya.
tentang diriku
 
- Shah Shukri
- Taiping, Perak, Malaysia
- "Suatu hari nanti kita pasti berhenti bekerja dengan manusia, tetapi tiada istilah berhenti bekerja dengan Allah melainkan perjuangan berakhir bersama nafas terakhir"
Selamat Datang
Kepada yang sudi melayari blog saya ini,saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih serta pengharapan saya agar anda semua diisi pengetahuan yang bermanfaat dan saya amat berharap agar anda semua dapat berkongsi pengetahuan dengan saya...Insyaallah.
islamic clock
 
switch blog
Blog Archive
- 
▼ 
2010
                                (77)
                              
- 
▼ 
October
                                (16)
                              
- DUNIA MENDERITA KERANA PBB
- HALATUJU POLITIK BARU, MENGHALA KE MANA?
- Najib Konon Berlagak Membela Islam
- Hutang RM362b tapi kerajaan bernafsu besar
- Ubah Seri Perdana: RM65j besar bagi rakyat Galas
- Candu hiburan agar rakyat lalai petaka rasuah
- Yang Mana Satu Idaman Kalbu?
- Antara Adat dan Agama : Satu Penilaian
- Umno BN keluar dari amalan demokrasi
- Ulama muda Umno patut nasihat, bukan kipas
- Kehancuran Daulah Khilafah - punca kepada seluruh ...
- Mahkamah Tinggi Syariah Yang Tidak Syariah
- Isu Buang Bayi: Lagi Idea 'Bijak' Rosmah
- Gelombang Kebangkitan Perjuangan Khilafah Di Bumi ...
- Masalah Air: Lihatlah Salah Satu Penipuan 1Malaysia
- Najib Bak Manusia Yang Tersihir Oleh Obama
 
 
- 
▼ 
October
                                (16)
                              
islamic calendar
 
jom chat...!!!
Facebook Badge
my Friends
Labels
- hudud (1)
my Ads
Followers
By ShahShukri. Powered by Blogger.
Posted by
Shah Shukri
Sunday, October 3, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
                          


 
  

