Mari kita mulakan dengan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. mengenai “penyakit al-Wahn“. Apakah itu penyakit al-Wahn?
Sebuah hadis yang diriwayatkan dari Thauban radhi allahu anhu, bahawa Rasullullah salla allahu alayhi wassallam bersabda, dengan mafhumnya:
“Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama.”
Maka para sahabat r.a. pun bertanya, “Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat?”
Sabda Baginda s.a.w.:
“Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak bererti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di laut.”
Sahabat bertanya lagi, “Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?”
Jawab Rasulullah s.a.w.:
“Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn.”
Sahabat bertanya lagi, “Apakah itu al-Wahn?”
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Cintakan dunia dan takut akan kematian.”
Hadis ini diriwayatkan pada 1400 tahun dahulu dan kini benarlah sabda Baginda Rasulullah s.a.w. Umat Islam kini ditindas dan semakin lemah, dihinggapi penyakit al-Wahn. Seperti keadaan dimana orang kafir telah menindas mereka “bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama”. Golongan Islam Liberal juga tidak terkecuali daripada fenomena ini, mereka juga telah “makan” bersama-sama untuk menghancurkan umat Islam dari dalam.
Maka apakah yang patut dilakukan untuk memperkasakan kembali martabat umat Islam? Tentunya hanya dengan cara ini sahaja, iaitu kembali berpegang kepada tali Allah s.w.t., berpegang kepada al-Qur’an dan Sunnah serta mendalami ilmu untuk kembali mencari redha Allah s.w.t.
Maka inilah yang diharapkan oleh seluruh umat Islam di dunia pada hari ini.