Dokumen dedah AS laku jenayah perang
LONDON - Pengasas agensi pemantau hak asasi manusia, WikiLeaks di Internet, Julian Assange semalam menyatakan, beliau percaya terdapat bukti jenayah perang dalam dokumen tentera Amerika Syarikat (AS) yang bocor berhubung perang di Afghanistan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan setelah WikiLeaks menyiarkan kira-kira 91,000 maklumat sulit tentera AS di Internet sejak enam tahun lalu mengenai perang Afghanistan.
Antara maklumat yang bocor termasuk sejumlah insiden pembunuhan orang awam Afghanistan yang tidak dilaporkan selain operasi rahsia terhadap ketua-ketua Taliban. Pembocoran dokumen sulit tentera itu dikecam AS, Britain dan Pakistan.
Assange memberitahu kumpulan wartawan di London bahawa sama ada jenayah perang telah berlaku bergantung kepada mahkamah antarabangsa.
Menurutnya, apa yang pasti, terdapat bukti jenayah perang dalam dokumen-dokumen itu. Beliau membandingkan impak pendedahan dokumen perang itu dengan pendedahan arkib polis rahsia Jerman Timur.
"Pendedahan ini menyamai pendedahan arkib Stasi (polis rahsia Jerman Timur)," katanya.
Dokumen-dokumen sulit tentera AS itu meliputi apa yang telah diketahui umum mengenai peperangan selama sembilan tahun di Afghanistan antaranya melibatkan operasi khas AS untuk menghapuskan kumpulan militan tanpa perbicaraan, orang awam Afghanistan dibunuh tanpa sengaja dan pegawai-pegawai AS marah berhubung kerjasama perisikan antara Pakistan dengan kumpulan militan yang mahu menghapuskan rakyat AS. WikiLeaks menyiarkan dokumen-dokumen sulit itu di Internet kelmarin tanpa menyebut bagaimana ia diperoleh. Terdahulu, akhbar AS, New York Times, akhbar Guardian di Britain dan akhbar Jerman, Der Spiegel memperoleh akses awal terhadap dokumen-dokumen sulit tersebut. - AP
Sumber : Kosmo Online 27/7/2010
HANYA KHILAFAH YANG AKAN MENGHUKUM SEGALA JENAYAH PERANG YANG DIPERLAKUKAN TERHADAP UMMAH!
Pembongkaran yang dilakukan oleh pihak WikiLeaks hanyalah merupakan sebahagian daripada bukti kekejaman dan jenayah perang yang diperlakukan terhadap umat Islam oleh tentera AS dan sekutunya. Di manakah kemakmuran dan keamanan yang dijanjikan setelah tumbangnya Taliban di Afghanistan dan rejim Saddam di Iraq? Yang ada hanyalah kematian, penderitaan dan kemusnahan. Wahai kaum Muslimin, inilah buah tangan demokrasi tajaan Amerika yang kononnya menjanjikan kemakmuran dan keamanan!
Setelah 9 tahun tentera penjajah kuffar berada di Afghanistan, nasib kaum Muslimin di sana menjadi semakin buruk. Kekayaan dan hasil bumi di Afghanistan dijarah. Kedudukannya yang strategik sebagai laluan paip bekalan minyak ke Eropah juga menyebabkan Amerika dan sekutunya begitu ghairah untuk terus menjajah wilayah ”Mujahideen” tersebut dengan meletakkan pemimpin bonekanya.
Kini, dalam meneruskan penguasaannya di wilayah tersebut, Amerika cuba mengheret sebuah lagi negara kaum Muslimin iaitu Pakistan untuk turut serta dalam konflik tersebut. Bahkan dalam diam, pentadbiran Obama telahpun melancarkan serangan terhadap wilayah Pakistan dalam kempen perang di Afghanistan (America’s Undeclared War on Pakistan). Drone kapal terbang tanpa pemandu Amerika telah berulang-kali menceroboh ruang udara Pakistan dan melancarkan peluru berpandu ke atas kawasan penduduk umat Islam di Lembah Swat. Acapkali serangan tersebut menelan korban di kalangan orang awam. Namun masyarakat antarabangsa secara umumnya berdiam diri terhadap perbuatan keji ini. Siapakah yang akan menuntut bela atas kematian ini?
Wahai kaum Muslimin,
Kesungguhan para mujahidin di sana berjuang menentang penjajah merupakan suatu perjuangan yang mulia. Semoga Allah mengurniakan kesyahidan dan menempatkan mereka di sisi muttaqin di akhirat kelak. Namun, tanpa kekuatan sebuah negara - iaitu Daulah Khilafah yang menyatukan umat Islam - perjuangan tersebut akan berdepan dengan kesukaran. Tanpa sebuah kuasa yang berupaya menyaingi kekuatan ketenteraan Amerika dan sekutunya, umat Islam akan terus ditindas dan diperkotak-katikkan.
Ketahuilah bahawa sesungguhnya umat Islam mempunyai potensi yang besar. Dengan sumber manusia, hasil bumi serta kekuatan ketenteraan yang ada, sudah tentu penyatuan seluruh dunia Islam di bawah Sistem Khilafah kelak akan menggerunkan negara-negara yang cuba membuat onar.
Khilafah akan memayungi seluruh umat Islam, menerapkan syariat Islam serta melakukan pembelaan dan pembebasan daripada segala bentuk penjajahan. Khilafah juga akan menjadi penggerak dalam menyebarluaskan risalah Islam melalui diplomasi dan peperangan (iaitu dakwah dan jihad).
Semoga dengan kembalinya khilafah, akan terbentuklah ketumbukan tentera yang ikhlas dan bertaqwa lalu mereka akan berjuang sehingga dapat membebaskan umat Islam daripada penjajahan dan penderitaan selama ini.
“Perangilah mereka dan Allah akan mengazab mereka dengan tangan-tangan kalian dan menghinakan mereka serta membantu kalian mengalahkan mereka dan Allah akan melegakan hati-hati kaum Mukminin” [TMQ at-Taubah (9):14].