Tudung cukup sinonim dengan adat Melayu yang suka mempromosikan  kesopanan, kecantikan dan keayuan. Ini berkait rapat dengan prinsip yang  mengatakan rambut itu mahkota wanita. Maka, rambut perlulah dipelihara  sebaiknya bermula daripada rutin membasuhnya menggunakan syampu yang  sesuai sehinggalah cara pemakaian tudung yang akan menjamin kesegaran  dan kesuburan rambut walaupun kepala sentiasa tertutup. Kupasan ini  bukan bertujuan untuk memperkenalkan cara penjagaan rambut atau cara  pemakaian tudung mengikut Islam, sebaliknya akan mengutarakan isu utama  sekaligus merupakan isu pokok yang perlu difahami oleh setiap muslimah.
 Masyarakat melayu umumnya berpendapat pemakaian tudung dalam kalangan  wanita adalah satu perkara biasa kerana ini adalah budaya setempat.  Sementara wanita Islam yang tidak memakai tudung juga dianggap perkara  yang tidak perlu diambil berat kerana tegar dengan falsafah Melayu,  “jangan jaga tepi kain orang”. Justru, Fikratul Ummah kali ini ingin  membongkar realiti semasa yang terkait dengan isu pemakaian tudung;  kesalahfahaman yang timbul dari isu ini; dan bagaimana pandangan syariat  Islam mengenai pemakaian tudung. 
Realiti semasa  
 Barangkali ramai yang pernah terbaca isu artis dan pemakaian tudung.   Antaranya, seorang pelakon wanita yang dikenali ramai, Anne Ngasri,  pulang dari menunaikan ibadah umrah tahun lalu dengan penghijrahan untuk  memakai tudung. Namun tidak lama selepas itu, Anne mengakui dia memang  membuka tudung ketika berlakon dalam drama Mayang Mengurai baru-baru ini  demi memenuhi kehendak produksi itu. Ujar ibu anak dua ini, niatnya  hanyalah untuk mencari rezeki kerana punca rezekinya dari dunia lakonan. “Saya  bukan sesuka hati pakai dan buka tudung saya. Di luar, saya sebagai  Anne Ngasri memang sudah bertudung. Tetapi apabila berlakon, ada  sesetengah drama memerlukan watak saya untuk tidak bertudung, jadi saya  akan buka tudung ketika penggambaran. Namun ia masih ada batasnya kerana  saya tak akan sesekali berpakaian seksi atau ‘buka’ sana sini malah  dari dulu lagi saya bukanlah seorang yang seksi.” [Utusan  Malaysia 11/1/2010]
 Lain pula alasan untuk memakai tudung bagi pelakon dan penyanyi Umie  Aida. Pada majlis resepsi perkahwinannya 28 Mac lalu, Datin Paduka Umie  Aida mengumumkan bahawa dia sudah bersedia untuk melakukan transformasi  penampilan diri dengan memakai tudung secara perlahan-lahan selepas  menempuh alam perkahwinan.  Umie bagaimanapun menyatakan niat bertudung  itu tidak akan dilakukan secara mendadak. Semua itu akan dilakukan  secara bertatih. Ujar Umie,  “Memang saya sudah mahu melangkah ke  arah itu. Itu niat saya dan disokong oleh suami saya. Setiap manusia ada  niat dan ini adalah antara saya dengan Tuhan. Lagipun saya mahu  melakukan selangkah demi selangkah. Seperti yang dikatakan sebelum ini,  saya tidak boleh tergesa-gesa memakai tudung kerana terikat dengan  komitmen kerja. Menggalas tanggungjawab sebagai jurucakap Marie France  Bodyline ini adalah salah satu daripadanya.” [Berita  Malaysia online 23/5/2010]
 Tidak jauh berbeza daripada artis-artis lain, penyanyi Liza Hanim yang  telah bertudung sejak bulan April lalu, mengaku dia mula memakai tudung  setelah mendapat keizinan dari suaminya. Dua tahun lamanya dia menanam  azam namun, baru tiga bulan lalu hasrat tersebut dimakbulkan Tuhan. Bagi  Liza, rezekinya dalam bidang hiburan semakin melimpah ruah sejak  perubahan imej yang dibawanya.  "Alhamdulillah, sepanjang tempoh  bertudung tawaran nyanyian tidak pernah lekang saya terima", katanya  yang mengakui berdebar membuat penampilan pertama bertudung di khalayak  pada separuh akhir pertama Mentor baru-baru ini.  [Utusan  online 23 Jun 2010]. 
 Itu antara kisah ikon masyarakat Malaysia berkenaan keputusan dalam  hidup mereka untuk memakai tudung. Jika diperhati dan diteliti, dapat  disimpulkan bahawa mereka memakai tudung bukannya kerana memenuhi  tuntutan syariat Allah dan bukannya untuk menjalankan kewajipan mereka  sebagai muslimah. Hukum syara’ bukanlah pertimbangan utama mereka malah  hasrat peribadi dan kepentingan dunia dijadikan landasan dalam melakukan  sesuatu perbuatan. Persoalannya, adakah seorang  mukallaf itu  hanya perlu melaksanakan suruhan dan meninggalkan kewajipan mengikut  kesesuaian masa, atau setelah mendapat izin individu tertentu atau  setelah merasakan doanya dimakbulkan? Dimanakah mereka meletakkan  kewujudan Allah sebagai pembuat hukum dan sebagai pencipta kita ? Dimana  mereka meletakkan janji setiap kali solat dan melafazkan ” hanya  Engkau kami sembah dan hanya Engkau kami minta pertolongan [TMQ  Al-fatihah :4] Tidak pernahkah kalian mendengar atau membaca  ayat-ayat Allah yang menyeru kalian untuk menutup aurat? Atau kalian  hanya membutakan mata dan memekakkan telinga?
 Menyingkap kembali sejarah isu tudung di Malaysia, banyak peristiwa  telah berlaku mengenai status tudung dalam kehidupan umat Islam. Tidak  cukup dengan dipandang rendah sebagai amal wajib dari Yang Maha  Pencipta, malah muslimah yang ikhlas menjalankan kewajipannya pula  dihalang dan diancam. Di Pahang, seorang guru di sebuah sekolah aliran  agama, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Sentang telah menggunting  tudung labuh pelajarnya seramai 65 orang kerana tidak mengikut garis  panduan yang ditetapkan oleh mereka  [Utusan Malaysia 25 Februari  2006]. Kes lain, seorang pegawai akaun, Habsah Jaafar dibuang  kerja kerana majikannya, Hotel Renaissance tidak membenarkan beliau  memakai tudung semasa bekerja. [Utusan Malaysia 27 Februari  2006]. 
  
Mengapa pelanggaran hukum ini makin menjadi-jadi?
Pertama, propaganda Barat menakluk pemikiran umat  Islam.
 Sejarah pemakaian tudung kepala sebenarnya sudah bermula berkurun  lamanya sebelum kedatangan Islam. Sejarah Judeo-Kristian membuktikan  pemakaian tudung kepala diamalkan oleh rahib wanita mereka. Dengan  kedatangan Islam wanita diperintahkan Allah untuk melabuhkan tudung  kepala mereka menutupi belahan dada. Oleh kerana berlakunya kemerosotan  iman dan penghayatan Islam dikalangan umat hari ini, ditambah lagi Pihak  kuffar Barat dan Yahudi berserta sekutunya bertungkus-lumus menjajah  pemikiran umat Islam dengan menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam  yang sebenar. Di antara usaha mereka adalah menanggalkan tudung dari  kepala wanita Islam. Pihak kuffar terus menerus berusaha dan melakukan  apa saja untuk meyakinkan wanita bahawa mereka harus mengikut budaya  Barat dan bebas daripada keterikatan cara berpakaian untuk maju dalam  hidup. Wayang hidup sekular dan propaganda pembebasan wanita pun  dimulakan. Idea-idea asing inilah yang melahirkan perjuangan menuntut  hak wanita di Malaysia, iaitu dalam bentuk pemikiran Islam Liberal yang  mempersoalkan status tudung. Tidak sedikit kekeliruan dan persoalan yang  mereka timbulkan dalam masyarakat berasaskan hak kebebasan individu  untuk mengamalkan agama dan memelihara hak asasi manusia.  
 Contohnya, isu pemakaian tudung pelajar MRSM dan Universiti Islam  Antarabangsa telah pun mencetuskan kontroversi. Mereka menentang  penguatkuasaan tudung sebagai pakaian seragam sama ada di sekolah  mahupun dalam pasukan beragam kerana ia kononnya salah satu pencabulan  hak kebebasan individu dan mereka berpendapat terdapat khilaf ulama’  berhubung bentuk pakaian wanita Islam khususnya dalam pentafsiran Surah  An-Nur ayat 31. Lebih teruk, mereka juga mahukan ayat ini ditafsir  semula mengikut citarasa dan kehendak nafsu mereka. Sedangkan jumhur  ulama sebenarnya sudah sepakat berhubung dengan maksud ayat ini dan  meletakkan garis panduan cara berpakaian bagi wanita menurut syariat  Islam. 
 Pada peringkat antarabangsa pula, isu tudung bagi wanita Islam terus  mencetuskan polemik agama. Di Turki, Merve Safa Kavakci, seorang ahli  Parlimen daripada Parti Keadilan Turki dipecat kerana bertudung. Pelajar  London, Shabina Begum yang berumur 17 tahun dan empat pelajar Singapura  yang dinafikan persekolahan juga kerana bertudung menjadi bukti  pertembungan antara sekularisme dengan Islam. Selain itu, Perancis telah  menguatkuasakan pengharaman pemakaian tudung di sekolah awam.  Undang-undang ini telah mencetuskan demonstrasi besar-besaran di Eropah  untuk menentang tindakan yang tidak bertamadun ini. Ribuan wanita yang  turun membanjiri jalan raya London membawa sepanduk menegaskan bahawa  hijab adalah satu kewajiban dan menjadi pilihan wanita Islam untuk  mengamalkan ajaran agama mereka. Hijab juga melambangkan kebebasan,  bukan penindasan terhadap kaum wanita. Dengan berhijab, wanita menuntut  supaya mereka dinilai dan dilihat atas dasar keimanan dan kebijaksanaan  serta budi pekerti dan bukan hanya bahan tontonan objek seks  semata-mata. 
 Inilah jalan kesesatan yang dipandu oleh musuh Islam dan hakikat yang  menyedihkan dan  ramai umat Islam telah mengikutinya. Mereka bukan  sahaja telah memutarbelitkan ayat Allah malah telah mendustakannya.  Sesungguhnya rugilah mereka atas apa yang mereka perbuat. 
“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh  lidahmu secara dusta ‘ini halal dan ini haram’, untuk mengada-adakan  kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengadakan  kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung”   [TMQ an-Nahl  (16):116].
Kedua, idea kapitalis yang menjadikan manfaat sebagai asas  perbuatan  
 Walaupun penafian terhadap syariat Islam dalam isu pemakaian tudung ini  amat hebat, ironinya sesetengah pihak berpegang pada pendapat bahawa ia  tetap menepati ciri fitrah manusia yang semulajadi, membantu  mengurangkan masalah gejala sosial, memperbaiki akhlak dan kesihatan.  Tudung mempunyai impak yang besar pada kesihatan badan. Ini dilaporkan  dalam artikel  The Science Behind The Veil di Islam Online.net  tulisan Karima Burns yang mengatakan:
 Ujian menunjukkan 40-60 % daripada tahap kepanasan badan seseorang  hilang melalui kepala justeru menutupnya terutama ketika musim sejuk  dapat mengawal suhu badan seseorang berbanding mereka yang lain. Menutup  kepala juga bermanfaat bagi kesihatan ketika musim panas. Pakar otak,  V.G Rocine mengatakan fosforus otak akan mencair pada suhu 108° F.  Keadaan ini boleh berlaku apabila seseorang terdedah kepada panas terik  tanpa menutup kepala. Pencairan fosforus boleh menyebabkan fungsi otak  menurun dan akan memberi beberapa kesan negatif kepada otak. 
 Artikel  Highest Phosphorus Foods di Canadian Neuro-Optic Research  Institute Online juga menyatakan bahawa :
 Sekiranya suhu badan seseorang mencecah lebih daripada 105° F ia amat  berbahaya kerana fosforus otak akan cair dan menjejaskan kesihatan otak.  Oleh yang demikian, kepala hendaklah ditutup dalam keadaan cuaca panas. 
 Bukan itu sahaja alasan yang diambil oleh umat Islam sebagai sebab ( ‘illat)  dalam menjalankan perintah Allah. Sudah menjadi kebiasaan bagi umat  Islam, mereka tidak melakukan sesuatu suruhan itu kecuali diketahui  sebab tuntutannya yang malah direka-reka sendiri (‘illat ‘aqliyyah)  yang disebabkan oleh kepimpinan berfikir acuan Barat yang mementingkan  manfaat dan keuntungan. Padahal, seorang Muslim bukan memakai sesuatu  pakaian disebabkan faktor cuaca, atau kelebihan yang dia akan perolehi  (contoh: rezekinya bertambah) tetapi ia adalah perintah Allah yang  menuntut Muslim itu menutup auratnya.
 Ingatlah firman Allah Subhanahu wa Taala   “Mereka (Kami utus) selaku  rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan agar tidak  ada alasan bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul  itu. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. [TMQ  An-Nisaa’ 4:165]
Ketiga, salah faham mengenai hukum Islam.  
 Golongan artis sibuk mempertahankan pendirian mereka bahawa apa yang  mereka lakukan (membuka tudung atau berpakaian seksi) semasa berlakon  atau menyanyi semata-mata kerana niat mereka yang baik iaitu ingin  mencari rezeki. Konsep dan pemahaman “Matlamat Menghalalkan Cara” telah  mendarah daging dalam tubuh umat Islam. Teori yang dibawa oleh  Machavelli adalah-dalam tindakan setiap manusia kita mesti melihat  kepada penyudahnya (matlamat yang ingin dicapai). Jadi biarlah seorang  putera (raja) mendapat kemenangan dan mempertahankan negaranya; kaedah  yang diambilnya akan sentiasa dianggap berbaloi, maka timbullah  pernyataan, “matlamat menghalalkan cara”.  [Niccolo Machiavelli,  The Prince]. Kesannya, umat Islam telah salah faham sehingga  sanggup melakukan apa sahaja walaupun cara tersebut jelas  salah di sisi  syara’ semata-mata untuk mencapai tujuannya.
 Islam mengajar umatnya bahawa yang menjadikan sesuatu perbuatan itu  halal atau haram adalah dalil syara’, bukannya ‘natijah’ yang terhasil  atau matlamat yang ingin diraih. Umat Islam tidak berhukum dengan  ‘natijah’ sesuatu perbuatan ataupun dengan tujuan yang ingin dicapai  daripada perbuatannya. Oleh itu, hukum ‘cara’ mestilah diambil  sebagaimana hukum ‘matlamat’ - iaitu dari syara’. Dalil syara’lah yang  menetapkan kewajiban suatu matlamat atau keharamannya. Setiap perbuatan  Muslim wajib berjalan mengikut syara’, iaitu mengikut nas yang telah  ditetapkan. Definisi hukum syara’ itu sendiri adalah seruan pembuat  hukum (Allah) yang berkaitan dengan perbuatan hamba - adalah satu  perkara yang wajib untuk memastikan bahawa setiap perbuatan Muslim  terikat dengan hukum Islam. Sistem Islam juga tidak pernah mengajar  penganutnya untuk bertolak ansur dengan kebatilan atau kemungkaran dalam  apa jua keadaan sekali pun. 
 Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer radiallahuanhu beliau  berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam  bersabda: 
“Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya  perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara  tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan  orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka  sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan  barang siapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh  dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di  sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke  dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya  sempadan Allah itu ialah perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa  dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka  baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad.  Ketahuilah ia adalah hati”.  
 Salah satu lagi kesalahfahaman dalam kalangan umat Islam apabila mereka  melakukan sesuatu amal secara berperingkat-peringkat atau tidak  tergesa-gesa. Mereka sebenarnya takut pada bayang-bayang sendiri kerana  khuatir dikatakan melakukan perubahan secara drastik atau yang lebih  teruk lagi tidak mahu dikatakan ekstremis agama. Jika kita mengambil  konsep tadarruj (beransur-ansur) dalam amal berpuasa sebagai contoh  maka, adakah kita boleh berpuasa 10 hari pada bulan Ramadhan pada tahun  ini, 20 hari pada tahun hadapan dan kemudian baru cukupkan 30 hari  berpuasa pada tahun berikutnya? Sudah tentu tidak! Ini kerana sesuatu  yang wajib itu akan tetap wajib hukumnya tanpa ada konsep tadarruj dalam  perlaksanaannya. Begitu juga bagi sesuatu keharaman itu akan tetap  haram hukumnya tanpa ada konsep beransur-ansur dalam meninggalkannya.  Lihatlah, dengarlah dan bacalah peringatan daripada Allah Subhanahu wa  Taala dalam firmannya: 
“Dan bersegeralah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat)  keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas  segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa”  [TMQ Ali 'Imran (3) :133].
Khimar hukumnya WAJIB!
 Dalam Islam, seorang wanita diwajibkan memakai “khimar” iaitu tudung  atau apa sahaja bahan/kain yang serupa dengannya yang berfungsi menutupi  seluruh kepala, leher, dan lubang leher baju di dada. Dalil mengenai  wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung) adalah Firman  Allah:  
“Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka”   [TMQ  An-Nur (24):31].
  
 Pakaian jenis ini (khimar) berserta dengan jilbab wajib dipakai oleh  seorang Muslimah (yang telah baligh) apabila hendak keluar menuju ke  pasar-pasar atau berjalan melalui jalanan umum. Setelah memakai kedua  jenis pakaian ini (jilbab dan khimar) maka barulah dibolehkan baginya  keluar dari rumahnya menuju ke kehidupan umum tanpa sebarang dosa. Jika  tidak, maka dia tidak boleh (haram) keluar dari rumah kerana perintah  yang menyangkut kedua jenis pakaian ini datang dalam bentuk yang umum,  dan tetap dalam keumumannya dalam semua keadaan. Mana-mana wanita yang  telah baligh dan melanggar ketetapan Allah ini, maka berdosalah mereka  dan layak mendapat seksa Allah di akhirat nanti.  Na’uzubillahi min  zalik.
 Allah berfirman,   “Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang beriman  dan tidak (pula) perempuan mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah  menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain)  tentang urusan mereka. Dan barang siapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya  maka sungguh dia telah sesat, sesat yang nyata.” [TMQ. Al  Ahzab [33]: 36]
Bersegera melaksanakan Syariat Allah SWT juga WAJIB!  
 Menurut hadis yang diriwayatkan Bukhari, Aisyah radiallahuanha  menceritakan kisah ketika  Surah An-Nur ayat 31 diturunkan di  Madinah, wanita mukmin Ansar dan Muhajirin terus melaksanakan perintah  ini serta-merta tanpa banyak soal dengan mencari apa sahaja kain di  sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan  membuktikan iman kepada apa yang Allah perintahkan. Petanda keimanan  mereka terserlah dengan sikap Sami’na Wa’ato’na (Kami  mendengar dan kami taat) terhadap apa jua perintah dan  ketetapan Allah tanpa perlu melihat rasional dan hikmah yang  terselindung di sebalik perintah tersebut.
 Maka para suami segera mendatangi isteri-isteri mereka dan membacakan  apa yang diturunkan Allah kepada mereka. Mereka membacakan ayat itu  kepada isteri, anak wanita, saudara wanita dan kaum kerabatnya. Dan  tidak seorang pun di antara wanita itu melainkan segera berdiri  mengambil kain (tirai) dan menutupi kepala dan wajahnya, kerana yakin  dan percaya kepada apa yang diturunkan oleh Allah di dalam kitabNya.  Sehingga mereka (berjalan) di belakang Rasulullah  Sallallahu Alaihi  wa Sallam dengan kain penutup seakan-akan di atas kepalanya  terdapat burung gagak. Jelaslah bahawa pelaksanaan kewajipan itu tidak  boleh ditunda-tunda atau berpaling daripada melaksanakannya kerana Allah  telah menegaskan dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, apabila mereka dipanggil  kepada Allah dan RasulNya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara  mereka maka mereka menjawab: “Kami mendengar dan kami patuh.” Dan mereka  itulah orang-orang yang beruntung.” Dan barangsiapa yang taat kepada  Allah dan rasulNya dan takut kepada Allah dan bertaqwa kepadaNya, maka  mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan”.   [TMQ  An-Nur[24]: 51-52].
Hukuman bagi wanita yang tidak memakai khimar.
 Hilanglah ketaqwaan sesorang individu muslim itu,  apabila dia  mengabaikan perintah dan larangan Allah serta Rasul-Nya. Pada tahap ini,  masyarakat wajib mengawal persekitaran hidup mereka dengan saling  menasihati dan menegur kesalahan untuk memastikan setiap individu  terjaga imannya dan mencegah pelanggaran hukum. Dalam masa yang sama,  Islam juga mensyariatkan pemerintah umat Islam wajib mengenakan satu  bentuk hukuman kepada mereka yang melanggar hukum syara’. Dalam isu  tudung ini, hukuman takzir hendaklah dilaksanakan oleh negara kepada  sesiapa yang tidak melaksanakan pemakaian tudung dan busana Islam yang  sah di sisi syara’. Ini pernah dilakukan oleh Sultan Abdul Hamid II,  Khalifah Uthmaniyyah Turki, dengan mengeluarkan pekeliling mendenda  wanita yang tidak memakai tudung. Sesungguhnya wanita Islam yang  melanggar hukum syara’, mereka patut dikenakan denda serta hukuman oleh  pemerintah dan bukannya mengancam, memboikot atau menghukum wanita yang  ikhlas melaksanakan kewajipannya untuk menutup aurat dalam rangka  menyahut seruan Allah. 
Kesimpulan
Wahai muslimah yang berselimutkan cadar kebebasan!  
 Tudung bukan semata-mata budaya wanita dalam masyarakat Melayu. Tudung  bukannya boleh dipakai dan dibuka sesuka hati kalian, kerana kalian  tidak boleh memilih untuk masuk ke syurga, kemudian ke neraka dan mahu  kembali semula ke syurga. Pemakaian tudung adalah tuntutan Ilahi dan  bukannya pilihan peribadi. Setiap tuntutan menutup aurat hendaklah  didasari dengan iman dan taqwa iaitu mengharapkan keredhaan Allah  semata-mata, bukan kerana mengharapkan manfaat duniawi. Setiap suruhan  dari Allah dan Rasul-Nya itu hendaklah dilaksanakan dengan segera tanpa  sebarang alasan dan tanpa menunggu izin dari sesiapa kerana Allahlah  yang menghidupkan kita di atas muka bumi ini. Memenuhi tuntutan Allah  adalah merupakan ibadah yang akan dibalas dengan pahala dan dihari  akhirat akan dijanjikan syurga . Amin. 
“Bersegeralah beramal sebelum datang pelbagai fitnah laksana  potongan-potongan dari hari yang gelap. (Saat itu) di waktu pagi seorang  manusia beriman tapi di petang harinya ia menjadi kafir. Di petang hari  seorang manusia beriman tapi di pagi harinya ia kafir. Ia menjual  agamanya dengan harta dunia.”  [HR Muslim dari Abi  Hurairah] 
 Sesungguhnya musuh-musuh Islam tidak mempunyai hujah yang kuat untuk  mempertahankan kebatilan mereka. Kerana itulah tindakan mereka terhadap  dakwah adalah dengan mengada-adakan pelbagai propaganda dan fitnah  terhadap ajaran Islam itu sendiri di samping menimpakan cabaran dan  siksaan kepada para pemikul dakwah Islam. Inilah usaha mereka yang  paling canggih dan selalu mereka gunakan ketika mereka kehabisan idea  untuk menghalang kebenaran.   
 Ingatlah peristiwa bagaimana Rasulullah  Sallallahu Alaihi wa Sallam  dimikrajkan ke langit, dan baginda diperlihatkan kebesaran Allah  Subhanhu wa Taala, yang salah satunya berkenaan wanita yang suka  mendedahkan auratnya kepada khalayak ramai.
 Rasulullah  Sallallahu Alaihi wa Sallam melihat para wanita yang  mereka itu diikat dengan payu daranya sendiri. Aku bertanya: “Mereka  itu siapa wahai Jibril? Jibril menjawab: “Mereka adalah para wanita  yang suka menampakkan auratnya kepada kaum lelaki yang bukan mahramnya.”  [Sirah Nabawiyyah, Prof. Dr Rawwas Qol’ahji]
“Siapa saja yang menjadikan selain Islam sebagai Deen (agama dan  peraturan hidup),maka tidak akan diterima apapun darinya, dan di akhirat  dia termasuk orang yang merugi.”   [ TMQ Ali-Imran  3: 85]
 Walaubagaimanapun, ingatlah wahai srikandi Islam! 
 Hukum syarak mengenai tudung ini hanyalah secebis dari hukum Islam yang  telah diabaikan dan dipermainkan. Walhal, Islam wajib diamalkan secara  keseluruhan dan kita terikat dengannya. Tuntutan berpakaian dengan  khimar dan jilbab wajib dilaksanakan bersama-sama dengan hukum-hukum,  peraturan dan sistem Islam yang lain seperti sistem ekonomi,  pemerintahan, pendidikan, penghukuman dan sistem sosial. Terimalah  hakikat bahawa keseluruhan sistem ini tidak akan berjalan mengikut Islam  kecuali dengan tertegaknya Daulah Khilafah yang menuntut peranan dan  usaha dakwah dari kalian. Wallahua’lam.
tentang diriku
 
- Shah Shukri
- Taiping, Perak, Malaysia
- "Suatu hari nanti kita pasti berhenti bekerja dengan manusia, tetapi tiada istilah berhenti bekerja dengan Allah melainkan perjuangan berakhir bersama nafas terakhir"
Selamat Datang
Kepada yang sudi melayari blog saya ini,saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih serta pengharapan saya agar anda semua diisi pengetahuan yang bermanfaat dan saya amat berharap agar anda semua dapat berkongsi pengetahuan dengan saya...Insyaallah.
islamic clock
 
switch blog
Blog Archive
- 
▼ 
2010
                                (77)
                              
- 
▼ 
August
                                (25)
                              
- Rakyat Dihimpit Kemiskinan Rayu Simpati, Adakah Pe...
- Ucapan Selamat Berpuasa Obama Itu Hanyalah Satu Pe...
- Indonesia-Malaysia Perlukan Khilafah Bukannya Kerj...
- Sandiwara Tol Di Musim Perayaan
- Puas Mengerah Tenaga, Pemimpin Negara Hanya Pandan...
- Rakyat Diminta Bijak Berbelanja, tapi Penguasa?
- Harta Dunia, Setakat Mana?
- Alangkah Baiknya Jika Tentera Malaysia, bukan Mala...
- Menara Jam Terbesar Didunia kini di MEKAH
- Payahnya Malaikat Meminta Tanah Dari Bumi
- Pentingnya Khilafah Dalam Penentuan Awal Dan Akhir...
- Tindakan Bodoh Menghantar Baulu Ke Ghaza
- Hukum Allah Dipandang Ngeri Oleh Kuffar Barat
- Ramadan Datang Lagi
- Demonstrasi Anti-Yahudi
- Strategi Kuffar Barat Menentang Khilafah
- Bersabarlah Demi Redha-Nya
- HUKUM ZINA YANG SEBENAR
- KISAH PEMUDA BERIBU-BAPAKAN KHINZIR
- SUSAH SANGATKAH UNTUK BERSATU?
- TUDUNG MUSLIMAH, PERINTAH DARI ILAHI ATAU KEHENDAK...
- Apakah maksud Al-Wahn???
- REMAJA MASJID KUBUR BERKATA-KATA
- Jenayah Perang AS Terbongkar
- Kekayaan Pemimpin Yang Membolot Kekayaan Umat
 
 
- 
▼ 
August
                                (25)
                              
islamic calendar
 
jom chat...!!!
Facebook Badge
my Friends
Labels
- hudud (1)
my Ads
Followers
By ShahShukri. Powered by Blogger.
Posted by
Shah Shukri
Monday, August 2, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
                          


 
  

